Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pelaksanaan penuh Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024 sebanyak RM1,700 sebulan akan berkuat kuasa kepada semua majikan di seluruh negara tanpa mengira bilangan pekerja mulai 1 Ogos 2025.
Menurut kenyataan media Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), kadar baharu ini telah diumumkan dalam Belanjawan 2025 dan mula dilaksanakan pada 1 Februari 2025 bagi majikan yang mempunyai lima (5) orang pekerja dan ke atas, serta majikan yang menjalankan aktiviti profesional seperti diklasifikasikan di bawah Malaysia Standard Classification of Occupations (MASCO) 2020.
Bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima orang pekerja, tempoh penangguhan selama enam (6) bulan telah diberikan dan akan tamat pada 31 Julai 2025. Ini bermakna, bermula 1 Ogos 2025, semua majikan tanpa pengecualian – termasuk yang sebelum ini menikmati tempoh penangguhan – perlu mematuhi kadar gaji minimum RM1,700 sebulan.
Kadar ini juga terpakai kepada pekerja bukan warganegara dan pekerja kontrak perantisan, namun tidak termasuk perkhidmatan domestik.
“Semua majikan diwajibkan mematuhi kadar minimum ini bagi memastikan hak pekerja dilindungi selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa,” tegas kenyataan itu.
Baca juga:
- Junjung titah Sultan, PAS Selangor meninjau plak monumen Rukun Negara
- Kekeliruan nama sama di PIK, Pagi Sore Kemang Hijau perjelas situasi
- Rakaman dron Haroqs jadi bukti dunia, dedah detik cemas sebelum diserbu tentera Israel
Majikan perlu semak struktur gaji
Dalam memastikan kepatuhan, KESUMA turut menggesa semua majikan menyemak semula struktur gaji syarikat agar tiada pekerja menerima gaji pokok di bawah kadar minimum yang ditetapkan. Majikan juga digalakkan membuat penyesuaian operasi secara progresif dengan memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan pelaburan dalam latihan kemahiran pekerja.
KESUMA turut mengingatkan bahawa kegagalan mematuhi Perintah Gaji Minimum merupakan satu kesalahan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732). Jika disabitkan kesalahan, majikan boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap pekerja. Jika kesalahan berulang, tambahan denda sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan boleh dikenakan. Manakala bagi kesalahan berulang, denda maksimum boleh mencecah RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima (5) tahun.
Dalam pada itu, KESUMA turut menggalakkan majikan untuk memanfaatkan Dasar Gaji Progresif (DGP) yang bersifat sukarela dan bertindak sebagai pelengkap kepada pelaksanaan gaji minimum.
Katanya, melalui DGP, majikan berpeluang meningkatkan pendapatan pekerja berdasarkan produktiviti, kemahiran dan sumbangan kerja, sambil menikmati insentif tunai bersasar daripada kerajaan.
“Ini bukan sahaja membantu syarikat mengekalkan pekerja berkemahiran tinggi, malah turut mengukuhkan daya saing jangka panjang dalam pasaran buruh yang semakin mencabar,” katanya.
Sumber: Kementerian Sumber Manusia








