Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki warga emas berusia 82 tahun di Guangdong, China, mencetuskan perdebatan hangat apabila mengumumkan hasrat untuk mewariskan semua hartanya kepada mana-mana individu yang sanggup menjaga kucing kesayangannya seumur hidup.
Lelaki itu yang hanya dikenali dengan nama keluarga Long, sedang mencari penjaga yang boleh dipercayai untuk kucing bernama Xianba sekiranya dia meninggal dunia lebih awal.
Long tinggal bersendirian sejak isterinya meninggal dunia sedekad lalu dan mereka tidak mempunyai anak. Pada satu hari ketika cuaca hujan, dia ternampak empat ekor kucing jalanan iaitu Xianba dan tiga anaknya, lalu dibawa pulang ke rumah. Namun, kini hanya tinggal Xianba yang masih menemaninya.
Menurut laporan Guangdong Radio and Television, Long bersedia menyerahkan seluruh harta pusakanya termasuk pangsapuri dan simpanan kepada individu yang benar-benar ikhlas menjaga Xianba. Bagaimanapun, sehingga kini dia belum menemui orang yang sesuai untuk menerima tawaran itu.
Kenapa ramai ragu-ragu dengan tawaran itu?

Berita itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen China. Ada yang mempersoalkan sama ada syarat yang ditetapkan Long terlalu ketat, hingga tiada yang berani menyahut cabaran.
Ada juga yang bimbang penerima wasiat itu mungkin berdepan tuntutan undang-undang daripada waris lain yang mahu menuntut hak ke atas harta Long. Malah, kontrak penjagaan kucing itu belum didedahkan sepenuhnya, menyebabkan timbul kebimbangan tentang potensi masalah di kemudian hari.
Sebahagian pula menyuarakan keprihatinan tentang keselamatan Xianba jika jatuh ke tangan orang yang berniat jahat. Ini kerana kes penderaan haiwan selepas diambil sebagai “adopted pet” sering dilaporkan di China.
Walaupun begitu, ada juga yang menyatakan kesanggupan untuk menjaga kucing itu tanpa mengambil sebarang upah.
“Saya sanggup jaga kucing itu, saya tak perlukan wangnya,” ujar seorang pengguna.
Industri haiwan peliharaan semakin berkembang

Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, industri haiwan peliharaan di China berkembang pesat.
Menurut China Pet Industry White Paper 2025, jumlah anjing dan kucing mencecah 124 juta ekor tahun lalu, meningkat 2.1% berbanding 2023.
Saiz pasaran pengguna anjing dan kucing turut melonjak 7.5%, mencapai nilai 300 bilion yuan (RM195 bilion) pada 2024. – Agensi