Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tular di media sosial sebuah video yang memaparkan tindakan berbahaya tiga buah kenderaan menghalang laluan di Lebuhraya PLUS menghala ke selatan, berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Pedas–Linggi.
Klip video yang dimuat naik di TikTok itu menunjukkan kenderaan terbabit berhenti di lorong tengah, kiri dan kanan lebuh raya, sekali gus menyebabkan gangguan kepada aliran trafik.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Hasani Hussain dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya telah membuka kertas siasatan dan menyiasat insiden berkenaan di bawah Seksyen 279/341 Kanun Keseksaan serta Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali, atas kesalahan memandu dengan cuai atau melulu hingga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.
“Selain itu, tindakan menghalang laluan turut disiasat mengikut Seksyen 341 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu bulan atau denda sehingga RM1,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
“Kes turut disiasat di bawah Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana meletakkan atau mengendalikan kenderaan dengan cara yang menyusahkan pengguna jalan raya. Jika disabitkan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM5,000. Lesen memandu juga boleh digantung sehingga tempoh 12 bulan,” jelasnya.
Hasani turut menegaskan tindakan sedemikian bukan sahaja melanggar undang-undang malah berpotensi menyebabkan kemalangan maut.
Sehubungan dengan itu juga, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, INSP Noor Fathiah Ak’Dillah Ishak di talian 010-5825384 atau SJN Siti Nur Balqes Abdul Rahim di talian 019-7992519 atau bilik Gerakan IPD Rembau di talian 06-6851999.








