7 jurutera digantung gara-gara jambatan RM11 juta berselekoh 90 darjah | The Reporter

7 jurutera digantung gara-gara jambatan RM11 juta berselekoh 90 darjah

Pemandangan udara jambatan RM11 juta di Bhopal India dengan selekoh 90 darjah yang mencetus kontroversi
Inilah jambatan di Bhopal bernilai RM11 juta yang tular kerana selekoh hampir 90 darjah hingga tujuh jurutera digantung kerja | Kredit gambar: Ani News

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Sebuah jambatan baru di Bhopal, India yang sepatutnya memudahkan perjalanan ribuan penduduk, kini menjadi bahan kecaman ramai selepas reka bentuknya didapati mempunyai selekoh hampir 90 darjah.

Projek Rail Over Bridge (ROB) bernilai 200 juta rupee (kira-kira RM11 juta) itu pada awalnya diumumkan 10 tahun lalu. Ia dibina untuk mengurangkan kesesakan jalan dan memendekkan masa perjalanan antara Mahamai Ka Bagh, Pushpa Nagar dan kawasan stesen ke New Bhopal. Namun, gambar jambatan tersebut yang tular di media sosial mendedahkan satu masalah besar, selekoh yang sangat tajam yang dianggap berbahaya kepada pengguna.

Ketua Menteri Madhya Pradesh, Mohan Yadav, mengambil tindakan segera dengan menggantung tujuh jurutera termasuk dua jurutera kanan yang terbabit dalam projek itu. Beliau juga mengarahkan siasatan terhadap seorang jurutera kanan yang telah bersara kerana dipercayai terlibat dalam keputusan reka bentuk tersebut.

“Tujuh jurutera, termasuk dua jurutera kanan, telah digantung serta-merta. Siasatan dalaman akan dijalankan terhadap seorang jurutera bawahan yang telah bersara. Kedua-dua agensi pembinaan dan perunding reka bentuk telah disenaraihitamkan kerana menyerahkan reka bentuk jambatan yang cacat,” kata Yadav dalam kenyataan rasmi.

Kekangan ruang tanah

Menurut Ketua Jurutera projek, VD Verma, pasukan beliau tidak mempunyai banyak pilihan kerana kekangan ruang tanah dan kewujudan stesen metro yang terletak berhampiran kawasan pembinaan.

Bagaimanapun, alasan itu tidak dapat meredakan kebimbangan orang ramai yang mempersoalkan bagaimana reka bentuk berbahaya seperti ini boleh diluluskan tanpa penelitian lebih ketat.

Sebagai langkah penyelesaian, pihak berkuasa kini bercadang membeli tanah tambahan supaya laluan lebih selamat dapat dibina pada masa depan.

Jambatan sepanjang 648 meter itu pada asalnya dirancang untuk mengurangkan masa menunggu di lintasan kereta api dan memudahkan perjalanan hampir 300,000 penduduk setiap hari. Namun, setakat ini ia hanya menimbulkan kontroversi dan menjadi contoh kegagalan projek infrastruktur. – Agensi

Related Posts