Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
“Saya bukan nak motosikal ni, saya nak jenama lain!” itulah kata-kata seorang remaja lelaki yang mencetuskan rasa geram orang ramai selepas penjual motosikal, Nicholas Chong, berkongsi ceritanya di TikTok.
Video yang dimuat naik tiga hari lalu itu menceritakan pengalaman dirinya berdepan seorang anak muda yang dikatakan tidak menghargai usaha bapanya membeli motosikal pertama untuk kegunaan belajar.
Anak tak suka motosikal pilihan bapa
Dalam perkongsian tersebut, Nicholas menceritakan bagaimana seorang bapa datang ke kedainya minggu lalu untuk membeli motosikal bagi anak yang baru mendapat lesen menunggang motosikal. Si bapa memaklumkan dia mahu mencari model sederhana, bersesuaian dengan bajet keluarga dan cukup untuk kegunaan harian anaknya ke sekolah.
“Saya pun tunjukkan motosikal yang kecil sikit, lebih murah dan memang sesuai untuk pelajar macam anak dia. Dia terus setuju dan buat bayaran penuh,” kata Nicholas.
Namun, lelaki itu berasa bimbang anaknya mungkin tidak suka dengan pilihan tersebut dan memaklumkan dia akan membawa remaja itu datang ke kedai pada keesokan hari untuk melihat sendiri motosikal tersebut.
Sebaik saja motosikal itu diperlihatkan, muka remaja berusia 17 tahun itu berubah. Dia tanpa berselindung berkata, “Saya bukan nak cari motosikal ini. Saya nak motosikal jenama X. Kawan saya semua beli jenama X.”
Nicholas menjelaskan motosikal yang dimahukan remaja itu berharga hampir dua kali ganda lebih mahal, sekitar RM11,000 hingga RM12,000. Walaupun sudah diterangkan model pilihan bapanya lebih praktikal untuk pelajar sepertinya, remaja itu tetap menolak dan mengkritik motosikal itu sebagai “buruk”.
“Saya tarik bapa dia ke tepi dan kata, kalau anak abang betul-betul tak nak motosikal ni, saya pulangkan semula duit,” jelas Nicholas.
Dalam video sama, Nicholas turut meluahkan rasa marah
“Terus terang, hati saya panas. Bukan sebab tak dapat jual motosikal, tapi sebab perangai budak tu macam tak ada otak. Kalau awak hebat sangat, pergilah cari duit sendiri dan belilah motosikal yang awak nak. Jangan minta duit keluarga.
“Awak sekarang tengah belajar. Bapa awak kumpul duit belikan motosikal baru, tapi awak kata buruk. Apa yang buruknya?”
Netizen kecam sikap anak tak reti bersyukur
Rata-rata netizen mengecam tindakan remaja tersebut yang lebih mengutamakan jenama motosikal berbanding menghargai usaha bapanya.
Ada yang berkata, jika masih belum mampu berdikari, sepatutnya bersikap lebih bersyukur dan bukan menolak pemberian ibu bapa semata-mata kerana mahu nampak “setaraf” dengan kawan.








