Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Anthony Loke seru orang ramai rakam lori atau bas pandu laju sebagai bukti
• Video tular bantu tindakan cepat pihak berkuasa terhadap pemandu dan syarikat bas
• Lesen Star Mart Express digantung 30 hari bermula 3 Julai
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyeru orang ramai supaya merakam gambar atau video jika melihat bas ekspres atau lori dipandu secara berbahaya di jalan raya. Menurutnya, bukti seperti itu amat penting untuk membantu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas demi keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
Anthony menegaskan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) tidak pernah memandang ringan aduan orang awam, terutamanya apabila ia disertakan dengan bukti kukuh seperti video atau gambar.
Beliau turut mengulas tentang satu video tular baru-baru ini yang menunjukkan sebuah bas ekspres dipandu laju dan pemandunya bertindak menunjukkan isyarat lucah kepada individu yang merakam kejadian tersebut.
“Seperti yang berlaku beberapa hari yang lalu, ada satu video tular melibatkan sebuah syarikat bas ekspres yang dipandu dengan laju dan selepas ia memotong kenderaan lain, pemandu itu tunjukkan isyarat lucah kepada orang yang mengambil video tersebut.
“Jangan ingat video yang ditularkan itu tidak berkesan, ada orang kata (mereka) dah buat aduan kepada JPJ, tak diambil tindakan.
“Saya tengok video itu sahaja terus saya WhatsApp kepada Ketua Pengarah JPJ dan Ketua Pengarah APAD untuk ambil tindakan dan APAD terus menggantung syarikat tersebut,” katanya.
Syarikat bas dikenakan tindakan serta-merta
Susulan video berkenaan, APAD telah menggantung Lesen Pengendali Kenderaan Perkhidmatan Awam milik Star Mart Express Sdn. Bhd. selama 30 hari bermula 3 Julai ini. Rakaman tersebut dipercayai dirakam pada 12 Jun lalu.
Anthony menjelaskan, langkah pantas itu membuktikan bahawa aduan rakyat melalui saluran digital termasuk media sosial bukan sahaja diterima, malah diproses dan diambil tindakan segera oleh kementeriannya.
Sumber: Kosmo Online




