Dato’ Sri Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) yang baharu menggantikan Tan Sri Razarudin Husain. Pelantikan itu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Fasal (4) dan (5) Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, atas nasihat Perdana Menteri dan perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelantikan Mohd Khalid secara kontrak sehingga 22 Jun 2027 dibuat berdasarkan kompetensi dan pengalaman luas beliau dalam bidang kepolisan.
“Kerajaan MADANI menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada Datuk Seri Mohd Khalid Ismail atas pelantikan sebagai Ketua Polis Negara secara kontrak selepas bersara.
“Beliau memiliki daya kepemimpinan yang tinggi serta komitmen yang terbukti dalam menerajui pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Saifuddin turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Polis Negara ke-14, Tan Sri Razarudin Husain atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau sepanjang perkhidmatan sejak 23 Jun 2023.
“Khidmat beliau sepanjang menerajui pasukan menjadi landasan kukuh dalam meneruskan kesinambungan kepimpinan PDRM,” katanya.
Memetik laporan Berita Harian, Mohd Khalid dilahirkan pada 8 April 1965 di Manong, Perak dan memperoleh Ijazah Sarjana Perundangan Perbandingan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Beliau menyertai PDRM pada 5 April 1987 dan memulakan perkhidmatan di Cawangan Khas, Bukit Aman. Sepanjang kerjaya, beliau pernah menjawat pelbagai jawatan penting termasuk Timbalan Pengarah Cawangan Khas I serta Pegawai Perhubungan Keselamatan di London, United Kingdom.
Mohd Khalid dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas pada 10 April 2023 sebelum bersara wajib pada 8 April 2025. Namun, perkhidmatannya disambung secara kontrak sehingga kini.








