Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan maut dipercayai akibat lemas selepas dihimpit tangan bapanya yang terkena serangan jantung dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Perigi Hang, di sini, pagi Khamis.
Kejadian berlaku sekitar jam 9.30 pagi itu disedari si isteri, Azura Abdul Malik, 40, yang pulang dari tempat kerja untuk membawa anak bongsu daripada tiga beradik itu, Muhammad Nur Daniel Nurul Effendy, mendapatkan suntikan di klinik kesihatan.
Memetik Sinar Harian, Azura yang bekerja sebagai pembantu tadbir di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) berkata, beliau terkejut apabila melihat bayinya berada di bawah lengan suaminya, Nurul Effendy Ibrahim, 35, yang tidak sedarkan diri di atas katil.
“Saya terkejut sebab tak ada sebarang kesan darah, bila masuk ke dalam bilik tidur saya lihat kedua-dua yang berada di atas katil tidak sedarkan diri.
“Ketika itu saya mendapati suami tidak sedarkan diri dan bayi kami berada di bawah lengannya dan masa kejadian bayi saya masih bernyawa, namun keadaannya begitu lemah,” katanya.
Beliau terus membawa kedua-duanya ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka namun anak bongsunya disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, PBK II Mohd Supian Md. Dali memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pihak hospital pada jam 9.58 pagi.
Menurutnya, lelaki berusia 30-an disahkan meninggal dunia di lokasi manakala bayinya meninggal dunia di hospital.
“Pasukan telah membuat pemeriksaan di kediaman sekiranya berlaku kebocoran gas, namun hasil siasatan lanjut mendapati mangsa mungkin maut akibat serangan jantung, jadi bantuan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dibatalkan,” katanya.








