Seorang penumpang yang terselamat dalam nahas pesawat Air India yang meragut 241 nyawa mengejutkan ramai apabila dia duduk di tempat duduk yang sama dengan mangsa selamat tragedi Thai Airways pada tahun 1998.
Dalam kejadian pada 12 Jun lalu, pesawat Boeing 787-8 Dreamliner milik Air India yang berlepas dari Ahmedabad menuju ke Lapangan Terbang Gatwick, London terhempas ke kawasan perumahan hanya beberapa minit selepas berlepas, menyebabkan letupan besar yang meragut nyawa 241 penumpang.
Pihak berkuasa India pada awalnya menjangka tiada mangsa yang terselamat. Namun, seorang penumpang warga Britain, Vishwash Kumar Ramesh yang duduk di kerusi 11A berjaya menyelamatkan diri.
Siapa Ruangsak Loychusak dan apa kaitan tempat duduk 11A?
Apa yang lebih menggemparkan, seorang selebriti Thailand, Ruangsak Loychusak, turut mendedahkan dia juga duduk di tempat duduk 11A ketika terselamat dalam nahas Thai Airways TG261 pada 1998 yang mengorbankan 101 nyawa.
Dalam kenyataannya, Loychusak, 47, berkata bulu romanya meremang apabila mengetahui penumpang Air India yang terselamat itu duduk di tempat duduk yang sama.
“Mangsa tunggal yang terselamat dalam nahas pesawat di India itu duduk di kerusi 11A, sama seperti saya,” katanya.
Beliau menyifatkan pengalaman terselamat itu sebagai peluang hidup kedua dan turut berkongsi trauma yang dialaminya selepas nahas.
“Saya sukar bernafas setiap kali menaiki pesawat. Saya mengelak bercakap dengan orang dan sering duduk memandang ke luar tingkap. Jika ada awan gelap atau ribut, saya akan rasa seperti berada di neraka,” katanya.
Ramesh turut menceritakan detik cemas itu kepada media tempatan.
“Sekitar 30 saat selepas berlepas, saya terdengar bunyi kuat. Apabila saya bangun, saya lihat banyak mayat di sekeliling. Saya takut, terus bangun dan lari. Saya nampak pintu keluar dan terus cuba keluar,” katanya.
Ramesh juga mengakui masih sukar untuk mempercayai dirinya mampu hidup selepas melihat sendiri kematian berlaku di depan mata.








