Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Suspek akan dituduh Selasa ini di Mahkamah Petaling Jaya bawah Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak
• Mangsa dipercayai peminat selebriti dan pernah hadir ke konsert suspek
• Polis beri jaminan siasatan dilakukan secara menyeluruh dan telus
Tarikh 17 Jun dijangka menjadi tumpuan apabila seorang artis popular tanah air akan dihadapkan ke Mahkamah Petaling Jaya atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap remaja bawah umur.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek yang bergelar penyanyi dan pelakon terkenal itu akan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, selepas pihaknya menerima arahan daripada Pejabat Pendakwa Raya Selangor.
“Suspek akan dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dan pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Petaling Jaya pada Selasa (17 Jun),” katanya.
Peminat jadi mangsa, pernah temui suspek di konsert
Siasatan mendapati mangsa berusia 17 tahun itu merupakan peminat kepada selebriti berkenaan. Mereka pernah bertemu sekurang-kurangnya dua kali ketika remaja tersebut hadir ke konsert artis terbabit.
“Polis percaya mangsa merupakan peminat kepada selebriti itu,” kata Hussein.
Katanya lagi, siasatan telah dijalankan secara menyeluruh bagi memastikan hak mangsa dilindungi dan keadilan dapat ditegakkan dalam proses mahkamah yang akan berlangsung.
“Polis komited dalam memastikan keadilan ditegakkan dan siasatan dijalankan dengan teliti bagi melindungi hak mangsa serta menjamin ketelusan proses perundangan,” jelas beliau.
Kes ini mencuri perhatian ramai kerana membabitkan figura terkenal industri hiburan, namun identiti suspek masih dirahsiakan sehingga proses mahkamah bermula.








