‘Kawan-kawan meronta, saya tak mampu tolong’ – Pelajar UPSI cerita detik cemas sebelum bas terbabas | The Reporter

‘Kawan-kawan meronta, saya tak mampu tolong’ – Pelajar UPSI cerita detik cemas sebelum bas terbabas

Aleeya Maisarah, mangsa kemalangan bas UPSI, berkongsi pengalaman cemas
“Kawan-kawan meronta, saya tak mampu tolong,” kata Aleeya selepas selamat daripada nahas bas UPSI yang ragut 15 nyawa

Seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Aleeya Maisarah Azizzani, 21, berkongsi detik cemas sewaktu terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik–Jeli, awal pagi Isnin lalu yang meragut 15 nyawa.

Menurut Aleeya, mereka mula berkumpul di Jerteh sekitar jam 9 malam sebelum bertolak menaiki bas. Dalam perjalanan, beliau mula terhidu bau hangit yang dipercayai dari bahagian tayar, namun tidak mengesyaki apa-apa.

“Di Tanah Merah saya terbau tayar hangit. Tapi rupanya orang lain dah hidu bau yang sama sejak dari Jerteh lagi. Saya cuma fikir bas akan berhenti sekejap, jadi tak fikir sangat,” katanya.

Difahamkan, bas sempat berhenti sebentar di stesen minyak sebelum meneruskan perjalanan. Namun situasi bertukar mencemaskan apabila pemandu terbabit dikatakan memandu terlalu laju ketika melalui kawasan Jeli.

“Ada yang kata bas itu berhenti di stesen minyak sekejap sebelum menyambung semula perjalanan. Kemudian semasa di Jeli, dia pandu dengan laju sampaikan lopak air atau lubang jalan juga dilaluinya membuatkan bas itu macam nak jatuh ke kanan. Saya ketika itu duduk di bahagian kanan dan insiden itu membuatkan saya rasa berdebar.

“Selepas dari kejadian itu, dia pun bawa bas perlahan. Tidak beberapa lama kemudian, dia bawa laju semula,” jelas Aleeya.

Aleeya berkata, bas mula hilang kawalan selepas melalui satu selekoh. Ketika itu, bas terbabas ke kiri dan melanggar besi penghadang jalan sebelum terbalik.

“Saya perasan apabila tiba di satu selekoh, bas itu jatuh ke kiri dan melanggar besi penghadang jalan.

“Kawan-kawan saya meronta-ronta meminta tolong, tetapi saya tak dapat nak tolong sebab bahagian belakang badan saya sakit dan hanya mampu mengeluarkan diri saya sahaja. Selepas itu ada orang awam datang membantu mengeluarkan mangsa dan tidak beberapa lama kemudian polis datang. Nak tunggu ambulans pun lama sebab lokasi kejadian sangat jauh.

“Saya nampak bas pecah bahagian kiri dan nampak ada mangsa yang tersepit kaki, meronta-ronta apa semua. Ada juga yang senyap (sudah meninggal dunia). Semasa saya keluar dari bas, ada mangsa berada di longkang. Saya ingatkan dia pengsan, orang di sebelah pula kata kepala orang itu sudah pecah. Saya tak tengok masa tu dan bila nampak, Allahuakbar, memang terburai,” katanya.

Terdahulu, nahas tragis yang berlaku di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik–Jeli awal pagi Isnin itu telah meragut 15 nyawa, membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa pelajar UPSI dan sebuah Perodua Alza.

Kejadian menyayat hati itu turut mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial berikutan jumlah korban yang tinggi.

Sumber: Sinar Harian (Noor Ainon Mohamed Yusof)

Related Posts