Chef Wan kesal ada pihak persoal pelabur Cina dalam restoran Melayu | The Reporter

Chef Wan kesal ada pihak persoal pelabur Cina dalam restoran Melayu

Chef Wan berdiri bersama hidangan tradisional Melayu di restorannya
Chef Wan tampil menjawab isu pelabur Cina dalam restorannya dan kecewa ada pihak mempertikaikan niat baik beliau | Gambar: Oddie Eats

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Chef selebriti terkenal Chef Wan tampil menjawab kecaman netizen selepas timbul isu pemilikan restoran jenama beliau yang didakwa dimiliki oleh pelabur Cina. Menurut beliau, isu tersebut tidak sepatutnya timbul kerana pelabur yang terlibat adalah jujur profesional dan mahu menaikkan martabat makanan Melayu.

Menerusi kenyataan yang dikongsikan di akaun TikToknya, Chef Wan mendedahkan sebelum ini beliau pernah menghubungi beberapa tokoh korporat Melayu sebagai pelabur namun semuanya tidak berminat kerana tidak yakin dengan konsep restoran Melayu. Malah ada yang memperlekehkan peribadinya yang dikatakan terlalu baik dan “lurus bendul” untuk berjaya.

“Jangan busuk hati tengok kejayaan orang”

Akhirnya beliau bekerjasama dengan seorang rakan kongsi berbangsa Cina bernama Andre yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang restoran. Katanya beliau tidak kisah siapa pelabur asalkan jujur dan mahu berniaga secara baik.

“Saya tak kisah siapa pelabur saya yang penting dia jujur dan mahu niaga dengan saya. Kalau buat pinjaman bank pun owner bank tu ada yang bangsa Cina,” katanya.

Beliau turut menyelar komen netizen yang menyeru supaya boikot restorannya semata-mata kerana pelabur bukan Melayu.

“Rasa nak sepak mulut yang cakap macam tu”

Chef Wan turut mengecam keras komen yang mempersoalkan status halal makanan di restorannya hanya kerana pelaburnya bukan Islam.

“Rasa nak sepak aja mulut yang cakap macam tu. Habis semua pekerja saya yang Melayu Islam selama ni masak benda haram ke?” katanya lantang.

Tambahnya lagi ada netizen yang seolah-olah tidak menghargai jasa dan pertolongan bangsa asing malah gemar memutar isu kaum walaupun dalam urusan rezeki dan pekerjaan.

“Dah 7 tahun saya bantu kebajikan tapi saya diam je”

Chef Wan juga berkongsi bahawa hasil perniagaannya digunakan untuk membantu ramai pihak dalam urusan kebajikan selama bertahun-tahun. Namun beliau tidak pernah menghebohkan perkara itu kerana niatnya ikhlas.

Katanya sikap sesetengah orang Melayu yang cemburu dengan kejayaan orang sendiri dan suka melemparkan fitnah hanya akan menjatuhkan bangsa sendiri.

“Kenapa dalam bidang lain boleh kongsi tapi restoran tak boleh?”

Chef Wan mempertikaikan mentaliti segelintir netizen yang menganggap restoran Melayu hanya boleh dimiliki oleh orang Melayu semata-mata. Beliau membandingkan bagaimana ramai firma guaman arkitek dan syarikat lain juga beroperasi dengan pelabur pelbagai kaum tanpa isu.

“Apa la sikap orang Melayu kita macam ni? Macam tak berterima kasih atas pertolongan bangsa asing dan suka bawa isu perkauman,” katanya.

Mengapa Chef Wan jawab isu pelabur Cina dalam restorannya?

Penjelasan Chef Wan ini dibuat susulan laporan media semalam yang memaklumkan syarikat Oasis Harvest mengambil alih jenama restoran beliau. Perkongsian ini juga dibuat untuk menjawab kecaman sesetengah pihak yang mempertikaikan pemilikan restoran berdasarkan kaum.

Ringkasan Berita:
• Chef Wan dedah pelabur Melayu tak yakin bantu restoran Melayu
• Beri respon pedas terhadap kecaman pelabur Cina dalam bisnesnya
• Tegas pekerja kekal Melayu Islam & hasil niaga bantu kebajikan

Related Posts