Peniaga kecil masih boleh guna gas subsidi tanpa permit hingga Oktober – Armizan | The Reporter

Peniaga kecil masih boleh guna gas subsidi tanpa permit hingga Oktober – Armizan

Datuk Armizan Mohd Ali bercakap mengenai penggunaan gas LPG subsidi di hadapan tong gas berwarna ungu
Armizan beri jaminan peniaga kecil masih boleh guna gas LPG subsidi tanpa permit sehingga Oktober

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Peniaga kecil dalam sektor makanan dan minuman boleh menarik nafas lega apabila kerajaan memutuskan untuk menangguhkan keperluan permit khas bagi pembelian tong gas LPG bersubsidi, sekurang-kurangnya sehingga pindaan undang-undang dimuktamadkan Oktober nanti.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan tiada tindakan akan diambil terhadap peniaga mikro dan kecil yang masih menggunakan LPG subsidi tanpa permit sepanjang tempoh peralihan ini.

“Mereka boleh terus beli dan guna seperti biasa. Tidak akan ada penguatkuasaan ke atas mereka sehingga pindaan peraturan dimuktamadkan,” katanya memetik laporan Bernama.

Undang-undang baharu masih dirangka

Keputusan ini dibuat selepas Jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan untuk meminda Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 2021 yang ketika ini mengehadkan pemilikan LPG subsidi melebihi 42 kilogram tanpa permit khas.

Menurut Armizan, perubahan ini dibuat demi memberi kejelasan dari segi pematuhan dan penguatkuasaan, sambil mengambil kira beban kos yang ditanggung oleh peniaga berskala kecil.

Sebuah Jawatankuasa Teknikal telah ditubuhkan pada 1 Mei lalu untuk menyelaraskan draf pindaan, melibatkan wakil kementerian, agensi teknikal dan pemain industri. Esok, sesi libat urus bersama 10 persatuan perniagaan makanan dan minuman pula akan berlangsung bagi mengumpul cadangan praktikal.

Ops Gasak diteruskan, sasar aktiviti curi subsidi industri besar

Walaupun peniaga kecil diberi kelonggaran, Armizan menegaskan Ops Gasak akan tetap dijalankan hingga 31 Oktober dengan fokus utama membanteras aktiviti haram seperti pemindahan LPG (decanting) dan penyalahgunaan subsidi oleh pihak industri.

“Laporan penuh Ops Gasak akan jadi rujukan penting dalam merangka pindaan undang-undang yang lebih jelas dan adil untuk semua,” ujarnya.

Siapa terkesan, siapa tidak?

Langkah ini disambut baik oleh ramai peniaga kecil yang sebelum ini bimbang bakal dikenakan tindakan jika gagal mendapatkan permit khas. Namun buat masa ini, hanya peniaga berskala besar atau pihak industri yang menggunakan LPG subsidi secara salah akan terus menjadi sasaran penguatkuasaan.

Apa sebenarnya isu tong gas ini?

Peraturan PPKB (Pindaan) 2021 yang diperkenalkan kerajaan terdahulu mengehadkan penggunaan LPG subsidi oleh peniaga melebihi had 42kg tanpa permit khas. Namun, pelaksanaannya dilihat terlalu menekan peniaga kecil yang bergantung kepada gas subsidi untuk meneruskan kelangsungan perniagaan.

Kini kerajaan mahu semak semula peraturan ini dengan pendekatan yang lebih praktikal dan tidak membebankan kumpulan berpendapatan rendah.

Ringkasan Berita:

• Peniaga kecil boleh terus guna LPG subsidi tanpa permit sehingga Oktober
• Undang-undang baharu sedang dirangka bersama jawatankuasa teknikal
• Ops Gasak diteruskan, fokus kepada penyelewengan subsidi oleh industri

Related Posts