Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pengarah dan penerbit terkenal, Erma Fatima menerima tawaran daripada dua penerbit Indonesia untuk menerbitkan dua filem layar lebar yang diinspirasikan daripada drama bersiri Bidaah, yang mencetuskan fenomena di negara jiran itu.
Menurut Erma, beliau bukan sahaja akan menulis skrip tetapi turut berpeluang membawa seorang pelakon tempatan untuk terlibat dalam produksi tersebut.
“Perbincangan sudah selesai. Memang ada satu video yang tersebar dalam media sosial menunjukkan pertemuan saya bersama penerbit Indonesia itu bagi projek filem Khurafat Walid yang dirancang tahun ini,” katanya.
Dua filem berbeza, inspirasi sama
Menurut Erma, filem Khurafat Walid akan memulakan penggambaran dahulu, diikuti satu lagi filem dari produksi berbeza yang juga mengambil inspirasi daripada Bidaah, namun dengan jalan cerita berbeza.
“Kisah yang dibentangkan nanti memang tidak sama dengan jalan cerita Bidaah, cuma masih memberi fokus terhadap ajaran sesat,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa beliau telah menetapkan syarat kepada penerbit Indonesia supaya melibatkan pelakon Malaysia.
“Saya memang letak syarat kepada penerbit di sana dari segi pemilihan pelakon, sekurang-kurangnya kena ambil pelakon dari Malaysia,” katanya.
Watak Walid dan kajian ajaran sesat
Erma juga mendedahkan bahawa beliau sedang membuat kajian mendalam mengenai ajaran sesat di Indonesia untuk memastikan plot filem dibina dengan teliti dan bertanggungjawab.
Pelakon Faizal Hussein, yang membawa watak Walid dalam drama Bidaah, juga akan terlibat dalam salah satu filem.
“Watak Walid lakonan Faizal sudah popular di Indonesia dan semua orang di sana juga bertanya bila pihak kami mahu bawa Faizal turun ke sana? Saya sangat bangga kerana mereka kenal Walid saya,” luah Erma.
Filem baharu berdasarkan insiden sebenar
Selain itu, satu lagi filem bertajuk Nikah Batin bakal diterbitkan berdasarkan kejadian sebenar di Lombok, Indonesia, selepas sebuah pesantren diserbu pihak berkuasa kerana didakwa mengamalkan ajaran sesat, susulan laporan polis oleh seorang jemaah wanita yang mendapat kekuatan selepas menonton Bidaah.
“Penerbit akan buat filem berdasarkan insiden sebenar termasuk perkara pelik berlaku antara jemaah,” jelas Erma.
Sumber: Kosmo








