‘Awak jawab je, tapi markah kosong’ – Guru tenang tegur pelajar bijak kantoi meniru | The Reporter

‘Awak jawab je, tapi markah kosong’ – Guru tenang tegur pelajar bijak kantoi meniru

Guru lelaki menegur pelajar lelaki yang kantoi memegang nota ketika peperiksaan di dalam kelas
Guru lelaki menegur pelajar yang didapati membawa masuk nota kecil semasa peperiksaan, namun memilih untuk memberi teguran secara berhemah

Peperiksaan akhir sering menjadi detik genting bukan sahaja bagi pelajar tetapi juga para guru yang menggalas tanggungjawab besar memastikan kelancaran dan integriti proses penilaian.

Dalam suasana peperiksaan yang tegang, seorang guru memilih jalan penuh hikmah untuk menangani kes meniru bukan dengan amarah, tetapi dengan budi bicara.

Perkongsian tular di Facebook Mohd Zailee, seorang guru berpengalaman dan pengawas peperiksaan SPM selama lebih 10 tahun, membuka mata netizen tentang pendekatan berhemah dalam menangani salah laku pelajar.

Hari terakhir peperiksaan, Zailee menangkap seorang pelajar kelas hadapan membawa masuk nota untuk subjek Sejarah. Pelajar itu bukan calang-calang orang. Seorang pengawas sekolah yang bijak, fasih tiga bahasa dan pernah meraih 93 markah dalam subjek Pendidikan Moral. Namun tindakan itu mengecewakan Zailee.

“Saya tak jerit. Saya tak malukan dia. Saya cuma bisik perlahan, ‘Saya benarkan awak terus jawab, tapi awak kena tahu awak akan dapat markah kosong. Tolong fikir balik hidup awak dan orang macam mana yang awak nak jadi.’”

Nota dirampas, guru disiplin dimaklumkan dan guru subjek diberitahu agar memberikan markah sifar. Namun, tindakan itu dilakukan dalam senyap agar tidak mengganggu peperiksaan pelajar lain dan tidak menjatuhkan maruah pelajar berkenaan.

Ilmu mengatasi emosi

Zailee berkongsi bahawa dalam pengalamannya mengurus disiplin pelajar, beliau tidak pernah menengking atau mengherdik walau pelajar terbukti bersalah.

“Memalukan murid bukan cara mengajar. Menerapkan akauntabiliti itu yang mengajar,” tulisnya. Beliau percaya bahawa pelajar patut menjauhi kesalahan bukan kerana takut hukuman tetapi kerana sedar dan mahu jadi manusia yang lebih baik.

Zailee menegaskan bahawa guru ialah golongan terpelajar yang wajar mengawal emosi, bukan menurutinya. Dalam menyelesaikan masalah pelajar, pendekatan psikologi lebih berkesan daripada hukuman agresif.

“Peraturan dah ada. Ikut buku, selesaikan dengan bijaksana. Dunia ni bukan ditadbir dengan emosi,” ujarnya penuh tegas dan tenang.

Perkongsian Zailee menjadi cerminan penting buat warga pendidik dan ibu bapa bahawa maruah dan masa depan pelajar tidak harus dikorbankan demi ego atau amarah. Dalam dunia yang serba mencabar ini, pendekatan berhemah dan berfikir panjang masih menjadi kunci membina manusia yang tahu erti tanggungjawab.

Mungkin benar kata Zailee, “Orang lagi hormat kita kalau kita selesaikan perselisihan dengan cara berhikmah.”

Related Posts