Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau belum memikirkan sebarang rombakan Kabinet susulan pengumuman peletakan jawatan oleh dua menteri kanan dalam pentadbirannya.
Menurut Anwar, perkara itu tidak timbul buat masa ini kerana Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad masih dalam tempoh cuti yang telah diluluskan.
“Belum (fikir buat rombakan), mereka masih bercuti. Kita tak boleh ganti orang yang sedang bercuti,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Semalam, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan mengumumkan keputusan melepaskan jawatan sebagai Menteri Ekonomi, diikuti Nik Nazmi yang menyusul dengan pengumuman peletakan jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Rafizi menyatakan peletakan jawatannya akan berkuat kuasa pada 17 Jun ini, manakala Nik Nazmi pada 4 Julai. Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan turut mengesahkan kelulusan cuti bagi kedua-dua pemimpin terbabit.
Difahamkan, keputusan ini hadir selepas kedua-dua mereka tewas dalam Pemilihan PKR 2025. Rafizi gagal mempertahankan jawatan sebagai Timbalan Presiden selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar, manakala Nik Nazmi pula tewas dalam perebutan jawatan Naib Presiden parti.








