Seorang ibu muda bersama bayinya yang hilang tempat tinggal dibantu oleh jemaah Surau Madrasatul Huda, dalam kejadian penuh empati yang berlaku di Lorong Nyior Setali, Alor Setar, baru-baru ini.
Wanita berusia lingkungan 20-an itu ditemui dalam keadaan cemas di belakang rumah Setiausaha surau selepas terpaksa keluar dari rumah rakannya kerana masalah kewangan. Suaminya kini sedang menjalani hukuman penjara, menyebabkan dia tiada tempat berteduh bersama anak kecilnya.
Setiausaha surau, Shamsul Anuar Aziz bersama beberapa jemaah yang baru selesai solat Maghrib segera membantu dengan menyediakan tempat perlindungan sementara di surau serta membelikan keperluan bayi seperti susu dan lampin pakai buang.
Tidak terhenti di situ, mereka turut menghubungi abang wanita itu di Pulau Pinang dan membeli tiket ETS untuk membolehkan dia pulang bertemu keluarganya.
“Saya cuma mahu pastikan dia dan bayinya berada dalam keadaan selamat. Ini bukan soal kaum atau agama tetapi soal nilai kemanusiaan,” kata Shamsul Anuar.
Tindakan spontan jemaah surau ini mendapat pujian ramai di media sosial. Rata-rata netizen memuji semangat kemasyarakatan dan kepedulian yang ditunjukkan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
Kisah ini menjadi peringatan bahawa kebaikan tidak memerlukan pangkat atau kuasa, cukup dengan keikhlasan dan tindakan pada waktu yang tepat.








