“Fakta tak pernah menipu,” itulah antara bait tegas yang dizahirkan Tunku Ismail Sultan Ibrahim apabila menzahirkan rasa kecewa terhadap reaksi segelintir pihak dalam bola sepak tempatan terhadap pencapaian Johor Darul Ta’zim (JDT).
Menerusi satu kenyataan lantang di Instagram, Pemangku Sultan Johor itu mempersoalkan mengapa pencapaian JDT dalam tempoh lebih sedekad termasuk memenangi Piala AFC dan membina fasiliti kelas dunia masih belum cukup untuk membuka mata ramai.
“Kita tersekat dengan orang-orang bodoh yang tak dapat beza. 12 tahun pecah rekod dan cipta sejarah dalam dan luar padang. Tapi masih tak sedar,” titahnya.
Menurut Tunku Ismail, bola sepak Malaysia dilihat masih selesa dengan pemikiran lapuk yang lebih mengagungkan kejayaan silam daripada menyokong usaha pembaharuan.
“Bola sepak Malaysia tak layak untuk JDT. Mereka patut kembali kepada mindset anak jati, Piala Malaysia lebih penting daripada liga, dan tolak Piala AFC,” tambahnya.
Baginda turut menyindir bagaimana kelajuan pembangunan JDT sering menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan mereka yang masih belum bersedia menerima perubahan.
Sebagai pemilik kelab paling dominan dalam sejarah moden Liga Malaysia, Tunku Ismail menegaskan bahawa kejayaan yang diraih bukan datang dengan nasib semata-mata, sebaliknya hasil visi jangka panjang yang disertai dengan pelaburan besar dalam infrastruktur, latihan akar umbi dan pengurusan berstandard antarabangsa.
Pendirian itu turut dilihat sebagai isyarat agar bola sepak Malaysia menilai semula hala tujunya sama ada mahu terus kekal dengan sistem tradisional atau berani bergerak seiring dengan perubahan zaman.
Sumber: Harian Metro








