Kata dah beli, tapi kenapa banglo RM9.7 juta Isa Isarb kini dijual oleh pemilik sebenar? | The Reporter

Kata dah beli, tapi kenapa banglo RM9.7 juta Isa Isarb kini dijual oleh pemilik sebenar?

Isa Isarb dalam banglo RM9.7 juta yang kini didedahkan bukan miliknya
Isa Isarb pernah kongsi video dirinya di banglo RM9.7 juta yang kini dilapor mahu dijual oleh pemilik sebenar

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Banglo mewah bernilai RM9.7 juta yang sebelum ini dikaitkan dengan pempengaruh media sosial, Isa Isarb, kini dilapor sedang menanti pemilik baharu.

Pendedahan ini timbul selepas iklan jualan banglo tersebut di laman hartanah PropertyGuru, tular di media sosial sekali gus menimbulkan semula persoalan ramai apakah rumah itu benar-benar milik Isa seperti yang didakwa sebelum ini.

Iklan jualan banglo cetus semula persoalan lama

Perkara itu turut disahkan oleh pelabur hartanah, Ishaq Marazi, yang berkongsi tangkap layar iklan tersebut di Facebook pada 6 Mei lalu.

“By the way, tenant YouTuber dah keluar dan owner tengah mencari buyer. Berminat boleh pm.”

Banglo tiga tingkat yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam itu dilengkapi tujuh bilik tidur, sembilan bilik air serta kolam renang peribadi, dan kini ditawarkan pada harga RM10 juta.

Sebelum ini, Isa pernah memuat naik video di media sosial yang menunjukkan dirinya menetap di banglo berkenaan dan menyatakan rumah itu dibeli dengan hasil titik peluhnya sendiri. Kandungan itu berjaya meraih perhatian ramai yang kagum dengan kejayaannya.

Pendedahan hak milik cetus kekeliruan

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, Ishaq tampil mendedahkan nama Isa tidak muncul dalam semakan hak milik. Malah, rumah itu sebenarnya disewa dan bukannya dibeli oleh Isa.

Isa kemudiannya tampil memberi penjelasan bahawa dia memang menyewa banglo itu sementara menunggu proses pembelian selesai.

Namun begitu, ramai netizen berpandangan bahawa cara penyampaian Isa pada awalnya menimbulkan kekeliruan, seolah-olah rumah tersebut memang sudah menjadi miliknya. Ishaq kemudian menuntut Isa mengemukakan bukti sah urusan jual beli sekiranya benar rumah itu pernah dibelinya.

Kisah ini mencetus semula perdebatan tentang kejujuran pempengaruh dalam menghasilkan kandungan. Dalam dunia media sosial yang mudah dibentuk oleh persepsi dan naratif sendiri, netizen menggesa agar pempengaruh tampil lebih jujur dan bertanggungjawab agar kepercayaan pengikut tidak disalahgunakan demi tontonan dan perhatian.

Related Posts