Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Usahawan terkenal, Dato’ Aliff Syukri Kamarzaman dan isterinya, Datin Shahida, sekali lagi meraih pengiktirafan apabila menerima anugerah khas daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebagai antara penyumbang zakat tertinggi di negeri itu setiap tahun.
Dalam satu perkongsian di Instagram, Dato’ Aliff Syukri meluahkan rasa syukur atas penghargaan tersebut yang dianggap sebagai satu impian yang terlaksana iaitu untuk terus membantu golongan yang kurang berkemampuan.
“Inilah impian kami, nak bantu orang lain terutamanya mereka yang kurang berkemampuan.
“Syukur alhamdulillah kami diberi pengiktirafan khas antara penyumbang zakat tertinggi di Selangor setiap tahun oleh Lembaga Zakat Selangor,” tulisnya.
Menurut Dato’ Aliff, anugerah ini bukan sahaja miliknya, tetapi turut dikongsi bersama isteri tersayang yang juga merupakan tulang belakang kejayaannya selama ini.
“Mula-mula isteri saya tak nak naik pentas. Saya paksa juga sebab bagi saya, kejayaan yang saya kecapi sekarang ini tidak bermakna tanpa dia. Dia bukan sekadar isteri, tapi rakan susah senang saya,” katanya lagi.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada para pelanggan yang terus menyokong perniagaan mereka.
“Hasil sokongan anda semua lah saya mampu menyumbang zakat dari hasil jualan kami. Syukur Ya Allah,” tulisnya penuh rasa syukur.
Dalam hantaran berkenaan juga, beliau mendoakan agar mereka sekeluarga terus diberi kesihatan untuk meneruskan usaha membantu golongan asnaf dan masyarakat yang memerlukan.








