Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat memerintahkan pendakwah bebas, Ustaz Abu Syafiq, membayar sebanyak RM2.5 juta kepada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, selepas didapati bersalah memfitnah beliau berhubung pandemik Covid-19 dan program vaksinasi kerajaan.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Raja Mohzan selepas membenarkan saman fitnah yang difailkan oleh Khairy selaku plaintif pada 25 Januari 2022. Saman itu turut melibatkan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam sebagai defendan kedua.
Kes saman tersebut berkisar kepada beberapa kenyataan dalam talian yang dibuat antara 20 Oktober 2021 hingga 10 Januari 2022, ketika Khairy menerajui Kementerian Kesihatan Malaysia semasa pelaksanaan program vaksinasi Covid-19 peringkat nasional.
- BERSATU pandang serius kenyataan Presiden PAS
- ‘PAS akan menilai semula kerjasama dengan BERSATU’ – Hadi Awang
- ‘Siapa kata pejuang sumud tiada taring?’ – Syed Saddiq
- Presiden PTM nafi dakwaan tular isu salah guna kuasa, minta wang
- Kapal SS Free Gaza dan SS Liberty cipta sejarah tembusi sekatan Israel ke Gaza pada 2008
Menurut tuntutan yang difailkan melalui firma guaman Tetuan Rashid Zulkifli, Khairy memohon ganti rugi am, ganti rugi teladan serta ganti rugi teruk, selain perintah supaya defendan memadam semua hantaran dan membuat permohonan maaf terbuka di media sosial dan portal berita utama.
Difahamkan, pada 16 Januari 2022, Khairy telah mengemukakan tuntutan awal kepada kedua-dua defendan namun gagal dipatuhi, menyebabkan tindakan saman diteruskan di mahkamah.
Dalam satu hantaran sebelum ini, Abu Syafiq menyatakan kesediaannya untuk memadam semua video dan kenyataan berkaitan isu vaksinasi yang menyentuh nama Khairy. Namun, ia tidak menghalang prosiding mahkamah daripada diteruskan.
Bagi Lokman Noor Adam pula, kes saman terhadap beliau telah diselesaikan secara baik pada 15 April 2024. Beliau bersetuju untuk memohon maaf kepada Khairy dalam tempoh 30 hari dan turut membayar pampasan yang tidak dinyatakan jumlahnya.
Keputusan mahkamah ini dilihat sebagai satu isyarat jelas bahawa penyebaran maklumat tidak sahih dan berunsur fitnah, khususnya berkaitan kesihatan awam, boleh membawa kesan perundangan yang serius.
Sumber: Sinar Harian








