Mark Zuckerberg dakwa TikTok ancaman besar kepada Meta | The Reporter

Mark Zuckerberg dakwa TikTok ancaman besar kepada Meta

Mark Zuckerberg beri keterangan isu TikTok dan Meta
Zuckerberg kata TikTok beri tekanan besar kepada Meta

Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg, menyifatkan TikTok sebagai ancaman paling besar dan mendesak kepada syarikatnya berdepan dengan perbicaraan berprofil tinggi yang dikendalikan Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) di Washington.

Lapor New York Post, sepanjang tiga hari memberi keterangan, Zuckerberg berkata, populariti TikTok yang meningkat secara mendadak sejak 2018 telah memperlahankan pertumbuhan Meta secara ketara.

“Kami melihat pertumbuhan Meta jatuh mendadak apabila TikTok mula naik. Ia sangat mendesak dan menjadi fokus utama Meta dalam menyesuaikan strateginya bagi menyaingi TikTok sejak beberapa tahun lalu,” katanya menjawab soalan peguam Meta, Mark Hansen.

Meta kini sedang cuba mempertahankan diri daripada dakwaan bahawa syarikat itu menjalankan amalan monopoli dengan membeli pesaing seperti Instagram dan WhatsApp bagi menghapuskan saingan. FTC pula mendakwa Meta mengamalkan strategi ‘beli atau musnahkan’ terhadap syarikat pesaing.

Zuckerberg menolak dakwaan itu dan menjelaskan Facebook dan Instagram kini lebih berperanan sebagai platform ‘penemuan kandungan’, dan tidak lagi terlalu bergantung pada model hubungan keluarga atau rakan seperti sebelum ini.

Bekas COO Meta, Sheryl Sandberg, turut dipanggil memberi keterangan berhubung pendekatan syarikat itu terhadap pesaing sebelum pengambilalihan dibuat. Perbicaraan ini turut mendedahkan beberapa emel lama Zuckerberg yang menunjukkan beliau sedar pembelian Instagram boleh mencetuskan siasatan antitrust.

Dalam satu dokumen 2018, Zuckerberg dilaporkan pernah mencadangkan kemungkinan memisahkan Instagram menjadi syarikat berasingan. Malah dalam emel pada 2012, beliau mengakui pembelian Instagram mampu “menghapuskan pesaing.”

Beliau juga mengakui ciri kamera dalam aplikasi Instagram ketika itu lebih baik berbanding Facebook, menjadi antara sebab utama pengambilalihan dilakukan.

Selain itu, FTC turut mendedahkan bahawa Zuckerberg pernah menawarkan $6 bilion untuk membeli Snapchat, namun ditolak oleh CEO-nya, Evan Spiegel.

Sebelum perbicaraan bermula, Meta dilapor cuba menyelesaikan kes ini secara luar mahkamah dengan menawarkan $450 juta sebagai penyelesaian, namun ditolak. FTC dilapor mahukan sekurang-kurangnya $18 bilion dan perjanjian menghalang Meta daripada meneruskan amalan monopoli.

Related Posts