'Itu tanggapan beliau, sedangkan tiada keperluan' - Saifuddin | The Reporter

‘Itu tanggapan beliau, sedangkan tiada keperluan’ – Saifuddin

Saifuddin Nasution
Semua VVIP dalam negara sentiasa di bawah pemantauan pihak berkuasa atas faktor keselamatan. Gambar: FB Saifuddin Nasution

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menepis dakwaan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar kononnya beliau dipantau secara menyeluruh, senyap dan berterusan oleh pihak berkuasa.

Menurut Saifuddin, sebagai seorang Menteri Besar, Samsuri sentiasa ditemani pegawai polis untuk tujuan keselamatan, maka tiada keperluan untuk sebarang ‘pengintipan’ tambahan.

“Sebagai Menteri Besar, pergerakan beliau ditemani seorang pegawai polis untuk tujuan keselamatan pada sepanjang masa. Tiada keperluan ‘spy’ beliau kerana polis memang sentiasa bersamanya,” katanya.

Memetik laporan FMT, Saifuddin turut berkongsi pengalaman beliau sendiri pernah disenaraikan untuk pengawasan antara tahun 2000 hingga 2004, namun menganggap ia sebahagian daripada tugasan rutin pihak berkuasa dan beliau memberi kerjasama penuh.

“Saya beri kerjasama penuh dan hormat tugasan mereka. Sehingga suatu tempoh, nama saya dikeluarkan daripada senarai tersebut,” katanya.

Semua VVIP dipantau untuk keselamatan

Tambahnya, semua VVIP dalam negara sentiasa berada di bawah pemantauan atas faktor keselamatan, termasuk Samsuri, dan menyifatkan kenyataan Samsuri sebagai cubaan membesarkan isu yang difahami oleh pemimpin lain.

“Dan sementara VVIP yang lain faham keadaan ini, Samsuri memilih untuk jadikan isu,” jelasnya.

Sebelum itu, Samsuri mendakwa dirinya dikenakan Perintah Kawalan Perjalanan (TCO), menjadikannya individu berisiko dalam sistem kawalan sempadan negara. Beliau mendakwa setiap pergerakan, pertemuan dan perbualan beliau dipantau serta dilaporkan kepada pihak tertentu.

Dalam kenyataan di Facebook, Samsuri juga mendakwa seorang lagi tokoh utama pembangkang turut dikenakan situasi sama.

Related Posts