Bagi menyemai semangat cintakan negara, nilai perpaduan serta jati diri dalam kalangan pelajar, semua murid di institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diwajibkan memakai lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam bermula 21 April 2025.
Menerusi satu surat pekeliling yang dikeluarkan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Hajah Azman Adnan pada 24 Mac, garis panduan berkenaan telah diluluskan Jemaah Menteri pada 14 Februari lalu.
Arahan ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia. Institusi pendidikan lain juga digalakkan untuk mengamalkan pemakaian yang sama.
Lencana tersebut mestilah bersaiz 5cm panjang dan 2.5cm lebar, diperbuat daripada plastik timbul epoksi berkualiti tinggi, dan perlu dipakai di bahagian kanan pakaian selari dengan tag nama.
- Kumpulan hak asasi haiwan gesa MBS hentikan program serah anjing terbiar
- Tindakan spontan lelaki selamatkan dua kanak-kanak dalam kebakaran raih pujian
- Polis jalankan siasatan dakwaan kanak-kanak 12 tahun diekori sebuah kenderaan
- Dakwaan penerima bakul makanan didaftar sebagai ahli, PKR Pahang dapatkan penjelasan
- Hantaran lelaki minta bakal isteri sediakan bekal sarapan cetus debat netizen
Lencana itu wajib dipakai bukan sahaja pada pakaian seragam rasmi sekolah, tetapi juga pada pakaian sukan, pakaian tradisional, pakaian kokurikulum badan beruniform, dan baju korporat Kolej Vokasional.
KPM menekankan bahawa lencana tidak boleh diubah dari segi bentuk, warna mahupun kedudukannya, dan perlu diganti jika sudah pudar atau rosak.
Langkah ini, menurut KPM, adalah usaha menyeluruh yang perlu digerakkan dari akar umbi untuk memastikan semangat patriotik kekal subur dalam kalangan murid dan pendidik. Bahagian KPM, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah juga diminta memainkan peranan dalam menggalakkan pelaksanaan inisiatif ini serta menganjurkan program nilai kenegaraan di sekolah.








