Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang warga emas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala setelah dirempuh oleh sebuah kereta ketika berteduh di bawah jejambat di lorong kecemasan.
Ketika insiden berlaku, warga emas berkenaan yang menunggang motosikal dirakam baru sahaja duduk di atas motosikalnya sebelum dirempuh oleh sebuah kereta di lorong kecemasan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, selepas Plaza Tol Sungai Besi, pada Ahad.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pemandu kenderaan berusia 40 tahun itu tidak melarikan diri dan telah ditahan selepas dia hadir membuat laporan polis di balai trafik.
“Siasatan awal mendapati penunggang motosikal berhenti di lorong kecemasan di bawah jejambat untuk berteduh telah dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta.
“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal berusia 76 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) oleh ambulans untuk menerima rawatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Susulan itu juga, Zamzuri meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan itu boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-2071 9999, Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-2026 0267 / 0269, atau mana-mana balai polis berhampiran.
Sumber: Sinar Harian








