Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Penyanyi dan pengasas Che Ani Premium, Noraniza Idris kini menarik nafas lega apabila pasar raya Mydin berminat dan menawarkan peluang untuk menjual produk keluarannya.
Sebelum ini, Noraniza Idris membuat laporan polis mendakwa menjadi mangsa penganiayaan sebuah akademi latihan keusahawanan tahun lalu dan terpaksa menanggung kerugian syarikat sebanyak RM630,000. Susulan itu juga, beliau terpaksa merehatkan 20 orang pekerja kerana tidak mampu membayar gaji mereka.
Namun, kini dia bersyukur dengan peluang yang diberikan oleh pihak Mydin. Beliau sekeluarga juga katanya melakukan sujud syukur dan menangis dengan pelawaan yang telah diberikan.
“Saya bersyukur di atas peluang ini. Selepas hampir jatuh terduduk dan tak tahu masa depan perniagaan saya dengan hampir nak tutup kilang, tiba-tiba produk saya ditawarkan untuk dijual di Mydin. Ini satu peluang dan rezeki yang cukup luar biasa.
“Saya anggap ini adalah peluang untuk saya memulakan langkah baharu dalam perniagaan. Insya-Allah saya akan cuba jalankan amanah ini dengan sebaik mungkin.
“Ketika pihak Mydin menawarkan dan bersetuju untuk produk saya berada di rangkaian mereka, saya sekeluarga sujud syukur serta menangis atas rezeki yang Allah kurniakan ini,” katanya.
Menerusi hantaran Instagram cheanipremium, beliau menyatakan ujian yang dilalui sebelum ini telah digantikan dengan peluang yang sangat besar.
“Alhamdulillah… Ujian yang berat di lalui di bulan mulia ini telah di gantikan dengan peluang yang sangat besar untuk memulakan kembali perjalanan sebagai usahawan,” katanya.
Dalam pada itu, memetik Berita Harian, Datuk Wira (Dr) Haji Ameer Ali Mydin berkata, beliau optimis dan sedia menyokong produk tempatan yang berminat untuk menjual produk mereka di rangkaian pasar raya itu.








