Perdana Menteri ingatkan semua pihak elak main isu 3R | The Reporter

Perdana Menteri ingatkan semua pihak elak main isu 3R

Anwar Ibrahim beri teguran berhubung isu 3R dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Isu yang menyentuh raja, bangsa dan agama (3R) sering menjadi punca ketegangan dalam masyarakat apabila disalahgunakan untuk kepentingan tertentu. Kenyataan atau tindakan yang tidak bertanggungjawab dalam perkara ini boleh mencetuskan perpecahan dan menggugat keharmonian negara, lebih-lebih lagi apabila ia dimainkan di platform terbuka dan media sosial.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur semua pihak agar mengelakkan daripada mencetuskan polemik berkaitan isu 3R yang boleh menjejaskan perpaduan nasional.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Anwar menegaskan bahawa sebarang tindakan atau pertuturan yang menyentuh isu ini tidak seharusnya berulang kerana ia berpotensi menimbulkan ketegangan dalam kalangan rakyat.

“Beliau mengingatkan semua pihak agar mengelakkan polemik 3R dalam sebarang bentuk kenyataan atau tindakan serta menekankan kepentingan menghormati antara satu sama lain,” katanya seperti dipetik dalam laporan Harian Metro.

Menurutnya, Anwar turut menekankan kepentingan rakyat untuk berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara sebagai asas perpaduan yang perlu dihayati dan diamalkan bagi memastikan kestabilan nasional terus terpelihara.

Beliau berkata demikian dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim, hari ini.

Related Posts