Penyanyi Azam Smile ditemui meninggal dunia di rumah | The Reporter

Penyanyi Azam Smile ditemui meninggal dunia di rumah

Azam Smile meninggal dunia
Sumber Gambar: Instagram Shukri Zainal

Penyanyi Shukri Zainal dilaporkan meninggal dunia di kediamannya pada petang kelmarin.

Menurut laporan Harian Metro, Shukri atau nama sebenarnya Mohamad Azam Zainal Abidin ditemui tidak bernyawa oleh pengurusnya, Vina. Kejadian itu disedari apabila Vina bergegas ke rumah Shukri selepas panggilannya tidak dijawab.

Vina memaklumkan bahawa kali terakhir dia berhubung dengan Shukri adalah pada petang Rabu.

“Kali terakhir saya bercakap dengannya ialah sekitar jam 2 petang semalam. Saya bertanya sama ada dia sudah makan tengah hari atau belum.

“Dia beritahu bahawa dia telah memesan prawn macaroni. Namun, apabila saya menghubunginya semula pada jam 6.50 petang untuk mengajaknya keluar makan malam, panggilan saya tidak berjawab. Dia tinggal seorang diri di sebuah kediaman di Shah Alam,” katanya.

Bimbang dengan keadaan itu, Vina segera ke rumah Shukri, namun tiada jawapan apabila Vina menekan loceng dan mengetuk pintu. Dia kemudiannya menghubungi beberapa rakan Shukri termasuk Zam Handy Black untuk meminta bantuan.

“Mereka mendapati pintu berkunci dari dalam dan terpaksa mengumpilnya sehingga hampir pecah. Saya juga menghubungi ambulans, unit peronda, dan petugas kesihatan. Apabila mereka tiba, mereka mengesahkan bahawa dia telah meninggal dunia,” katanya.

Menurut Vina, ketika Shukri ditemui, makanan yang dipesannya masih tidak terusik.

Allahyarham yang juga dikenali sebagai Azam Smile ujarnya tidak mempunyai masalah kesihatan, namun seorang yang bekerja keras kerana beliau merupakan seorang ‘content creator’ selain mempunya jadual yang sangat padat.

Menurut Vina, doktor mengesahkan kematian Allahyarham berpunca daripada pembuluh darah yang pecah serta tekanan akibat kurang tidur.

Difahamkan, Shukri baru sahaj selesai menjalani rakaman lagu Hari Raya berjudul Gedebak Gedebuk Raya bersama syarikat Javs Team.

Menerusi hantaran di Instagram milik beliau juga, Shukri baru sahaja menerima Anugerah Usahawan Madani 2025, januari lalu.

Related Posts