Pelawak, Saiful Apek, berharap isu berpelukkan dengan usahawan sensasi, Kak KM, tidak diperbesarkan. Dia mengakui kesilapan yang dilakukan selepas tular video tersebut dan menerima teguran yang diberikan dengan hati yang terbuka.
Apek, yang nama sebenarnya Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, 56, mengakui dia tidak menyedari batas-batas agama ketika kejadian itu berlaku, walaupun sudah cukup berusia.
“Saya akui khilaf dan menerima dengan berlapang dada untuk terima teguran berlandaskan kasih sayang,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Menurut Apek, dia tidak mahu terus menyalahkan keadaan atau mencari alasan untuk membela diri.
“Salah tetap salah, dosa tetap dosa dan yang haram tetap haram. Saya cukup sedar batas dalam agama Islam dan saya memang bersalah,” katanya.
Apek juga menegaskan, kenyataan yang dibuatnya bukan untuk mencari pembelaan atau memuaskan hati mana-mana pihak. Sebaliknya, Apek mahu mengingatkan semua bahawa hukum Allah adalah yang paling utama.
Terdahulu, Apek dikecam hebat oleh netizen susulan video yang dimuat naik oleh Kak KM di platform media sosial, Facebook dan Instagram, di mana Apek dilihat berpelukan dengan usahawan kosmetik tersebut dalam sebuah acara. Video tersebut mendapat kecaman daripada netizen, terutamanya kerana Apek yang sebelum ini dikenali dengan imej lebih Islamik.
Sumber: Harian Metro








