Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Apabila masuk sahaja sesi persekolahan baharu, ibu bapa mula kalut memikirkan pelbagai persediaan. Bukan sahaja memikirkan penerimaan suasana baharu dalam kelas, malahan ibu bapa juga risau anak-anak sukar membawa diri lebih- lebih lagi apabila waktu rehat.
Namun, ibu bapa tidak akan risau keadaan itu jika melihat cara wanita warga emas atau lebih terkenal dengan panggilan Acik Kantin ini menguruskan keadaan.
Dengar suara yang lantang dan jelas, Acik Kantin atau nama penuhnya Rozilawati Samsuri Osman memberikan penerangan kepada murid-murid sekolah mengenai wang tunai yang perlu digunakan semasa membeli di kantin.
Bukan hanya menyebut nilai ringgit, malahan Acik Kantin ini juga menyebut warna wang ringgit berkenaan supaya jelas pada pandangan dan pendengaran murid-murid.
Menerusi hantaran video di Suria FM itu, Acik Kantin berkenaan meminta murid supaya tunggu dahulu untuk mendapatkan baki jika membayar dengan menggunakan wang tunai RM5.
“Kalau bagi makcik warna ni (RM5) kena tunggu ambik baki, jangan jalan. Kalau nak bawak duit, warna hijau (RM5) dengan biru (RM1) sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Acik Kantin sempat berpesan pada murid-murid supaya jangan makan aiskrim sebelum makan dikhuatiri perut akan dimasuki cacing.
Rata-rata memuji penerangan yang disampaikan Acik Kantin yang dilihat penuh jelas dan prihatin dengan murid-murid.








