Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Wanita warga emas yang menjadi buruan polis atas kesalahan melarikan wang tunai RM2,500 di sebuah majlis perkahwinan di Pasir Mas beberapa minggu lalu berjaya ditahan.
Suspek ditahan di Jalan Sri Cemerlang Kota Bharu ketika menaiki sebuah teksi.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed, berkata ketika melakukan rondaan di sekitar Kota Bharu, pasukan polis telah terserempak dengan sebuah teksi yang berada dalam keadaan mencurigakan.
“Ketika polis melakukan rondaan di sekitar bandar Kota Bharu, pasukan terserempak sebuah teksi jenis Nissan Sentra berada dalam keadaan mencurigakan lalu terus mengekorinya.
“Setiba di Jalan Sri Cemerlang, pasukan polis menahan kenderaan itu sebelum menangkap warga emas wanita terbabit bersama pemandu teksi berusia 62 tahun.
“Hasil semakan lanjut mendapati suspek wanita itu mempunyai sembilan rekod jenayah lampau, termasuk di Terengganu, manakala suspek lelaki yang juga rakannya pula memiliki satu rekod jenayah.
“Hasil ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek adalah negatif,” katanya.
Terdahulu, tular hantaran seorang lelaki yang meminta orang ramai mengesan seorang wanita warga emas melarikan beg tangan yang mengandungi wang tunai RM2,500 di sebuah majlis perkahwinan.
Susulan itu juga, polis giat mengesan suspek yang dikenali sebagai Tuan Maimun.
Sumber: PDRM Pasir Mas, Berita Harian








