Gaji RM4,000-RM5,000 sebulan tapi tak beli kereta Jepun dianggap zalim terhadap anak & isteri? | The Reporter

Gaji RM4,000-RM5,000 sebulan tapi tak beli kereta Jepun dianggap zalim terhadap anak & isteri?

kereta Jepun dan keluarga
Gambar hiasan | Artificial Intelligence

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Membeli kereta adalah keperluan penting bagi kebanyakan individu, tetapi keputusan ini perlu dibuat berdasarkan kemampuan kewangan. Namun, seorang pengguna TikTok memberikan pandangan yang berbeza mengenai perkara ini.

Dalam video TikTok yang dikongsinya, Muiz Hypex berpandangan bahawa individu dengan pendapatan RM4,000 hingga RM5,000 perlu membeli kereta jenama Honda untuk memenuhi keperluan keluarga. Dia juga menyifatkan tindakan tidak membeli kereta yang sesuai sebagai satu bentuk kezaliman terhadap keluarga.

https://www.tiktok.com/@muizhypex/video/7454962452913065224

“Bagi aku, kalau kau gaji RM4,000 – RM5,000 tapi kau tak beli kereta Honda, kau zalim. Tak kisahlah kau zalim dengan anak bini ke, dengan mak kau ke, dengan diri kau sendiri ke, tapi kau zalim,” katanya.

Rezeki luas bukan untuk disimpan

Beliau menegaskan bahawa rezeki yang diberikan oleh Allah seharusnya dimanfaatkan dan bukan disimpan tanpa tujuan yang jelas, kerana menyimpan wang tanpa membelanjakannya untuk keperluan keluarga boleh menjejaskan pengalaman hidup anak-anak dan isteri.

“Allah bagi kita satu rezeki yang besar ni bukan untuk kita simpan dan kalau kita simpan tu, kita kena tahu apa sebab menyimpan. Kalau tak, kita jadi macam koruplah. Simpan, peluk je duit kan?

“Bayangkan punya teruk kereta engkau, tak nak beli baru, anak bini kau dalam kereta, merana. Kalau gaji kau RM5,000, kau tak payahlah beli kereta RM2,000 sebulan. Kau beli kereta RM1,000 sebulan pun dah okay. Ada baki RM4,000, takkan kau tak boleh hidup lagi?” tambahnya.

Beliau turut menyarankan orang ramai membeli kereta Honda kerana nilai pasaran jenama itu yang kukuh dan menambah bahawa kereta Honda mudah dijual semula tanpa perlu menambah bayaran untuk menutup baki hutang. Di akhir video, Muiz turut menawarkan khidmatnya kepada mereka yang berminat membeli kereta Honda, termasuk membantu urusan trade-in bagi kereta lama.

Perdebatan di ruangan komen

Pandangan tersebut menerima pelbagai reaksi di kalangan pengguna TikTok, dengan ada yang mempertikaikan logik saranan tersebut dan menyatakan bahawa pendapatan bulanan mereka tidak mencukupi untuk membeli kereta seperti Honda, terutamanya bagi yang mempunyai tanggungan keluarga besar.

Sementara itu, seorang pengguna lain berkongsi walaupun pendapatan bulanannya mencecah RM20,000 termasuk hasil perniagaan, dia masih menggunakan Proton Saga dan berpuas hati dengan gaya hidup sederhana. Malah, ada juga yang lebih mengutamakan rumah besar berbanding kereta mahal.

Namun, Muiz membalas komen tersebut dengan berkata, “Nabi cakap rumah biasa-biasa je, kenderaan kena best. Aku ikut Nabi lah.”

Pandangan tak relevan

Pandangan ini turut mengundang kritikan daripada pengguna yang menyatakan saranan tersebut boleh mempengaruhi orang lain untuk merasa tertekan membeli kereta mahal demi keluarga, walaupun kemampuan kewangan tidak mencukupi.

“Mudah eh berbual balance RM4k dah okay? Aku bising sebab kau punya bual boleh buat orang di luar sana didoktrin kena pakai kereta mahal demi anak.”

Related Posts