Revolusi Harimau Malaya: 'Hanya saya yang anda semua ada' - TMJ | The Reporter

Revolusi Harimau Malaya: ‘Hanya saya yang anda semua ada’ – TMJ

Revolusi Harimau Malaya
Sumber gambar: Facebook Harimau Malaya

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) menegaskan peranan baginda dalam revolusi pasukan Harimau Malaya adalah atas permintaan kerajaan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurut TMJ, baginda hanya bekerja dengan pasukannya sendiri tanpa kaitan dengan mana-mana pihak luar, termasuk laman pencari bakat di media sosial.

“Saya tiada sumber rapat. Saya tak kenal pun orang atau page ini. Saya tiada kaitan dengan sesiapa dan mana-mana pihak. Saya hanya diminta bantu kerajaan Malaysia, KBS, FAM, dan bekerja dengan pasukan saya sendiri,” jelas baginda melalui hantaran di laman X.

Fokus kepada struktur & hubungan global

Baginda menjelaskan bahawa usaha baginda memberi tumpuan kepada memperkukuhkan struktur, kemudahan latihan, teknologi, serta hubungan dengan organisasi bola sepak terkenal di peringkat global.

Tambah baginda, infrastruktur dan kenalan luas baginda dalam dunia bola sepak boleh dimanfaatkan untuk kepentingan negara.

“Kalau fikir secara rasional dan berdasarkan fakta, hanya saya yang anda semua ada. Yang lain setakat bercakap, tak sanggup beri sokongan kewangan dan kenalan mereka pun tak seberapa,” ujar baginda.

Transformasi besar-besaran Harimau Malaya

Revolusi Harimau Malaya mula mendapat perhatian apabila FAM mengumumkan jurulatih baharu, Peter Cklamovski, manakala Nafuzi Zain pula akan mengendalikan skuad B-23. Dalam masa terdekat, beberapa jawatan penting seperti ketua pegawai eksekutif dan pengarah teknikal dijangka diumumkan.

Pasukan kebangsaan turut difahamkan akan diperkuatkan dengan pemain warisan dan naturalisasi baharu yang sedang diusahakan oleh TMJ. Baginda juga dilaporkan telah bertemu tokoh bola sepak antarabangsa seperti Presiden FIFA, Gianni Infantino, dan Presiden Paris Saint-Germain, Nasser Al-Khelaifi baru-baru ini bagi membincangkan peluang kerjasama.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts