Susulan pendedahan Zahnita Wilson, suami ditahan bantu siasatan | The Reporter

Susulan pendedahan Zahnita Wilson, suami ditahan bantu siasatan

Keganasan rumah tangga Zahnita Wilson

Susulan pendedahan pelakon dan bekas model, Zahnita Wilson, mengenai dirinya menjadi mangsa keganasan rumah tangga, suaminya telah ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Menurutnya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Kuantan esok untuk permohonan tahanan reman.

Sumber memaklumkan, kejadian berlaku pada 26 November lalu sekitar jam 10 pagi di sebuah kediaman di Kuantan. Ketika itu, Zahnita didatangi suaminya sebelum berlaku perselisihan faham apabila Zahnita menyatakan hasrat untuk tinggal berasingan selepas didakwa menjadi mangsa keganasan.

“Suaminya didakwa mengugut untuk membunuh jika dia keluar dari rumah sebelum turut mencederakannya,” jelas sumber tersebut.

Zahnita, 39, sebelum ini mengejutkan ramai apabila memuat naik dua gambar menunjukkan matanya lebam. Dalam hantaran tersebut, Zahnita atau nama sebenar Zahnita Dorothy Hussein Wilson berkata, keadaan memaksanya untuk berkongsi apa yang berlaku walaupun berat hati.

“Saya tidak mahu melakukan ini, tetapi saya terpaksa. Ini sebab saya tinggalkan rumah lama dan selalu memakai cermin mata hitam,” tulisnya di media sosial.

Sumber: Harian Metro

Related Posts