Pengusaha restoran mamak dijangka naikkan harga makanan 5% mulai 2025 | The Reporter

Pengusaha restoran mamak dijangka naikkan harga makanan 5% mulai 2025

kenaikan harga makanan 5% restoran mamak
Gambar hiasan

Mulai 2025, sekitar 300 pengusaha restoran India Muslim atau mamak, di Johor berkemungkinan menaikkan harga makanan sehingga lima peratus akibat peningkatan kos operasi yang semakin membebankan.

Setiausaha Persatuan Usahawan India Muslim Negeri Johor, Hussien Ibrahim berkata, kenaikan ini berpunca daripada beberapa faktor, termasuk harga bahan mentah yang terus meningkat dan pelaksanaan gaji minimum RM1,700 yang bakal bermula Februari depan.

Menurut Hussien, kos tambahan ini turut melibatkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing yang akan meningkatkan lagi beban kewangan pengusaha restoran.

“Kami terpaksa menyerap kesan pemansuhan subsidi diesel, yang menyaksikan harga bahan mentah melonjak. Dalam masa sama, kenaikan gaji minimum juga memberi kesan besar kepada operasi kami,” katanya.

Bagaimanapun, keputusan muktamad mengenai kenaikan harga makanan masih menunggu arahan daripada Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma). Namun, anggaran kenaikan harga sekitar lima peratus mungkin dilaksanakan bergantung kepada keadaan ekonomi semasa.

Pada minggu lalu, Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia (PRIM), Datuk J Govindasamy, menyuarakan kebimbangan tentang kadar gaji minimum yang baharu ini akan memaksa pengusaha restoran menaikkan harga makanan antara 20 hingga 30 peratus. Situasi ini juga pernah berlaku ketika gaji minimum ditingkatkan kepada RM1,500 pada Mei 2022.

Kerajaan baru-baru ini bersetuju melaksanakan kadar gaji minimum RM1,700 bermula 1 Februari depan, dengan harapan ia dapat meningkatkan taraf hidup pekerja tempatan. Namun begitu, Hussien menegaskan sebahagian besar pekerja restoran India Muslim masih terdiri daripada pekerja asing.

“Dengan kos operasi yang semakin meningkat, kami mungkin terpaksa kurangkan pekerja asing. Walaupun kami tawarkan gaji sehingga RM2,500 sebulan untuk menarik pekerja tempatan, respons yang diterima tidak begitu memberangsangkan,” jelasnya.

Golongan muda lebih berminat dengan pekerjaan di sektor perindustrian, menyebabkan restoran India Muslim di negeri ini terpaksa mengupah tenaga kerja berusia 40 tahun ke atas yang lebih berminat untuk bekerja di restoran.

Sumber: Harian Metro

Related Posts