Seorang gadis dilaporkan hilang sejak Ahad lalu selepas keluar membuang sampah.
Nurul Aliya Zulkifli yang merupakan orang kurang upaya (OKU) lembam dikatakan membuang sampah di lokasi yang terletak kira-kira lima meter di depan rumah.
Sehubungan dengan itu, polis meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan gadis berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan kehilangan Nurul Aliya yang memiliki ketinggian 160 sentimeter, berat 45 kilogram dilaporkan oleh bapanya pada Isnin.
“Nurul Aliya keluar untuk membuang sampah di lokasi yang terletak dalam jarak lima meter di depan rumah.
“Pengadu kemudian mendapati anaknya tiada di hadapan rumah dan telah membuat carian di sekitar kawasan namun tidak menemuinya.
“Kali terakhir gadis itu dilihat memakai baju berwarna putih berbelang biru, berseluar hitam dan selipar,” katanya.
Sumber: Sinar Harian








