'Tukar hari Jumaat jadi hari bekerja seperti dikehendaki penjajah Inggeris' - MP Pasir Gudang | The Reporter

‘Tukar hari Jumaat jadi hari bekerja seperti dikehendaki penjajah Inggeris’ – MP Pasir Gudang

Gambar hiasan | Sumber: Liew Chin Tong

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, tidak bersetuju dengan cadangan untuk mengubah hari Jumaat sebagai hari bekerja di Johor. Beliau menyifatkan langkah ini sebagai tindakan yang seolah-olah mengikut telunjuk penjajah Inggeris.

Menurut Hassan, Johor adalah sebuah negeri Melayu dalam Persekutuan Tanah Melayu dari kumpulan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, sama seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah. Di negeri-negeri ini, cuti hujung minggu adalah pada hari Jumaat dan Sabtu.

Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu ini kurang terpengaruh oleh penjajahan Inggeris berbanding negeri-negeri Selat seperti Melaka dan Pulau Pinang serta Negeri-Negeri Melayu Bersekutu seperti Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.

Negeri-negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dipaksa mengikuti cuti hujung minggu pada hari Sabtu dan Ahad seperti yang dikehendaki oleh penjajah Inggeris.

“Hari Jumaat adalah hari yang mulia dalam budaya Islam. Di Johor adalah antara negeri yang paling banyak masjid. Hari Jumaat punya pengertian yang besar bagi masyarakat Islam di seluruh dunia.

“Tidak akan jadi Johor mundur jika dikekalkan Jumaat adalah hari cuti bagi Johor di mana memberi penghormatan yang tinggi kepada rakyat Islam di Johor,” kata Hassan dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebooknya.

Jelas Hassan, walaupun sebagai rakyat biasa dan ahli parlimen dari Johor, beliau tidak mempunyai kuasa untuk membuat perubahan. Namun, beliau masih mempunyai hak untuk bersuara dan hak ini tidak boleh ditekan atau dirampas daripada beliau.

“Sebagai anak jati Johor yang berbudaya Melayu dan beragama Islam, saya menghormati sejarah dan budaya Johor.

“Oleh itu, saya ingin menyatakan ketidaksetujuan saya terhadap perintah raja pemerintah Johor yang ingin menukar hari Jumaat menjadi hari bekerja dan menggantikan hari Ahad sebagai hari cuti, seperti yang dikehendaki oleh penjajah Inggeris dahulu,” katanya.

Related Posts