Tak cukup masa untuk persediaan, Dhabitah tamatkan persaingan di tempat ke-12 | The Reporter

Tak cukup masa untuk persediaan, Dhabitah tamatkan persaingan di tempat ke-12

Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri, menamatkan saingan di tempat ke-12 dalam final acara 3 meter (m) papan anjal di Sukan Olimpik Paris 2024 dengan kutipan sebanyak 244.80 mata.

Walaupun memulakan pertandingan dengan baik, prestasinya mula merosot pada terjunan ketiga dan keempat, yang menyebabkan kedudukannya jatuh ke tangga ke-11 sebelum menamatkan saingan di tempat terakhir.

Pada terjunan pertama, Dhabitah mengumpul 63.0 mata dan berada di kedudukan ketiga. Namun, pada terjunan ketiga dan keempat, mata yang diperolehinya mula menurun dengan masing-masing 37.50 dan 28.50 mata.

Pada terjunan kelima, beliau memperoleh 55.80 mata, tetapi ia tidak cukup untuk memperbaiki kedudukannya dalam pertandingan tersebut.

Dhabitah mengakui beliau belum bersedia sepenuhnya untuk menghadapi cabaran di peringkat Olimpik kali ini. Persediaannya tidak lancar kerana terpaksa mengejar masa untuk memperbaiki kemahiran dan teknik dalam tempoh sebulan sebelum pertandingan.

Perubahan pada tubuhnya dan kekurangan masa untuk persediaan telah menyumbang kepada prestasinya yang merosot, tetapi beliau tetap berusaha keras dalam tempoh latihan yang singkat sebelum Olimpik.

Dhabitah sebelum ini hampir mengucapkan selamat tinggal kepada sukan terjun selepas gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik semasa acara kelayakan terakhir di Kejohanan Dunia 2024 di Doha, Qatar. Namun, beliau tetap berpuas hati dengan keputusan yang dicapai memandangkan persediaan yang terhad.

Sumber: Astro Awani, Harian Metro

Related Posts