'Lebih sudu daripada kuah, pengurus pasukan patut dipersalahkan' | The Reporter

‘Lebih sudu daripada kuah, pengurus pasukan patut dipersalahkan’

Sumber Gambar: Olympic Council of Malaysia

Badang negara, Mohamad Aniq Kasdan terlepas merangkul pingat gangsa dalam acara angkat berat kategori 61kg lelaki di Sukan Olimpik Paris 2024 selepas menduduki tempat keempat. Hanya berbeza 1kg, Aniq terpaksa akur dengan pesaing terdekatnya Morris dari Amerika Syarikat.

Aniq memperoleh jumlah angkat terkumpul 297kg manakala Morris dengan jumlah 298kg.

Perbezaan 1kg itu dianggap sukar diterima bukan sahaja oleh penyokong Malaysia, malahan Aniq sendiri secara jelas terpacar kekecewaan di wajahnya.

Perkara itu turut disuarakan oleh bekas jurulatih angkat berat, MD Sukri Anami menerusi pesanan mesej yang dikirim kepada The Reporter, menyatakan gangsa itu sepatutnya milik Aniq.

Katanya, salah percaturan daripada individu lain menyebabkan Aniq gagal meraih gangsa.

“Sebagai bekas jurulatih, apa yang saya nampak sepatutnya Aniq Kasdan wajib dapat gangsa dan sepatutnya dapat gangsa. Daripada angkatan 167 terus lompat ke 174kg. Nak kejar apa sebenarnya? Kalau snatch dan 130, clean and jerk sepatutnya jurulatih fikir ambil pingat dahulu (gangsa) sama ada angkatan kedua 171kg atay 172 kg.

Silap percaturan

“Itu masih ada harapan gangsa. Apa yang saya nampak di sini ada sedikit kartun dalam pasukan angkat berat ke Olimpik. Pengurus pasukan sepatutnya dipersalahkan. Lebih sudu daripada kuah. Ambil alih tugas jurulatih (Edmund Yeo). Ini tidak profesional dan tidak menghormati peranan dan kepakaran jurulatih.

“Walaupun anda bekas pemenang nombor satu Komanwel, itu tidak bermakna anda boleh over shadow jurulatih utama mereka. Banyak lagi nak disuarakan sebenarnya. Tetapi ini yang paling utama. Selepas ini, walaupun pengurus ada stratregi sekalipun. Duduklah tepi dahulu.

“Biarkan jurulatih yang uruskan atlet. Mungkin jurulatih ada taktik berapa kg yang sepatutnya Aniq angkat. Tetapi bila diganggu pengurus, jurulatih tidak dapat buat apa difikirkan mereka. Jurulatih sentiasa ada bersama atlet. Jurulatih tahu kelemahan dan kekuatan atlet mereka,” luahnya.

Sementara itu, pengurus pasukan Amirul Hamizan Ibrahim berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk lakukan percubaan 174kg kerana berdasarkan rekod sememangnya Morris, pemegang rekod dunia (176kg) mampu mengatasi Aniq untuk pingat.

Related Posts