Imane Khelif, petinju wanita dari Algeria, baru-baru ini menangis kerana kontroversi yang melanda dirinya di Sukan Olimpik Paris 2024.
Kontroversi ini berkaitan dengan tuduhan kononnya dia adalah seorang wanita transgender. Hal ini timbul selepas kemenangan beliau dalam pertandingan tinju.
Sejak dari itu, Khelif menerima banyak kecaman dan kritikan teruk yang menyebabkan dia berasa sangat sedih dan tertekan. Dalam satu temubual eksklusif bersama Guardian Sport, Khelif memohon agar semua pihak berhenti membuli dan menghormati maruahnya sebagai seorang manusia.
Itali ambil kesempatan, tunggang kempen kotor pihak media?
“Selepas kemenangan pada malam itu (tewaskan peninju Itali), perasaan saya bercampur baur dan dalam masa sama saya terkesan. Bukan mudah untuk melalui semua itu yang boleh menjatuhkan maruah manusia dan ini yang berlaku pada saya selepas tamat perlawanan.
“Sejujurnya, Angela Carini telah lama mengenali saya. Saya pernah berkunjung ke Itali sejak beberapa tahun lalu di kem latihan yang terletak di bandar Asisi.
“Peninju Itali itu turut mengenali saya dan kami pernah menjalani sesi latihan bersama-sama di gelanggang.
“Tetapi mereka (Itali) mengambil kesempatan ke atas kempen media untuk menjejaskan saya. Tetapi saya akan terus berusaha untuk mencapai kemenangan dan sebab itulah saya berada di sini.
Bapa pertahankan anak
“Persoalan yang sama turut bermain di fikiran saya. Kenapa sekarang? Kenapa masalah ini berlaku pada waktu ini?
“Saya tidak kisah. Apa yang penting adalah, saya datang ke sini untuk fokus kepada matlamat iaitu Olimpik. Sekarang saya sudah masuk ke semi final dan insha-Allah saya akan bersedia untuk itu.
“Insha-Allah saya akan dapat mengawal keadaan dan berjaya mengharungi perlawanan akan datang,” katanya.


Bapanya, Amar Khelif, turut tampil mempertahankan anaknya adalah seorang wanita. Malah, Amar juga menunjukkan dokumen kelahiran rasmi yang menyatakan Imane Khelif dilahirkan sebagai perempuan.
Peninju Itali menyesal, mahu mohon maaf

Sementara itu, Angela Carini, peninju dari Itali, membuat keputusan untuk memohon maaf kepada Khelif selepas dia menarik diri dari perlawanan tempoh hari.
Jelas Carini, dia menghormati keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang membenarkan Khelif bertanding. Dia turut menyesal kerana tidak menghulurkan tangan untuk berjabat tangan dengan Khelif, selepas perlawanan.
Buli boleh membunuh
Khelif mengaku mengalami tekanan disebabkan kontroversi tersebut. Baginya, segala tindakan buli dan kritikan negatif yang diterima telah memberi kesan yang besar kepada diri dan keluarga.
Walaupun tertekan, Khelif nekad untuk meraih pingat emas agar dapat menutup mulut para pengkritiknya.
“Pesanan saya kepada semua manusia di seluruh dunia untuk menegakkan prinsip, piagam olimpik bagi mengelakkan semua atlet menjadi mangsa buli, kerana perkara ini mempunyai kesan yang besar.
“Ia boleh memusnahkan orang, membunuh pemikiran, semangat dan minda orang. Malah ia boleh memecahbelahkan orang. Disebabkan ini saya meminta semua berhenti membuli,” ujarnya.
Sumber: Guardian Sport, News Sky, USA Today








