Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Selepas Malaysia, Singapura pula memutuskan untuk tidak membuat sebarang tawaran sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026, menurut laporan media tempatan.
Dalam satu laporan, Sukan Komanwel Singapura (CGS) dan Majlis Sukan Singapura (SportSG) dalam satu kenyataan bersama berkata mereka telah mengkaji kemungkinan menganjurkan temasya itu dan membuat keputusan berkenaan.
Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) semasa perhimpunan agungnya pada November 2023 menjemput semua ahli persatuan, termasuk Singapura untuk menyatakan minat bagi menganjurkan Sukan Komanwel 2026 selepas tuan rumah asal, Victoria mengambil keputusan menarik diri dengan mendakwa peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal kepada A$6.9 bilion.
Terdahulu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan keputusan Kerajaan untuk tidak menerima tawaran daripada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sebagai tuan rumah temasya Sukan Komanwel 2026.
KBS berkata, mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang Mac lalu telah mengambil keputusan tersebut setelah meneliti semua aspek penganjuran dan implikasi.
Tawaran untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel mengundang pelbagai perspektif ramai. Beberapa pihak mencadangkan agar Malaysia menerima tawaran tersebut yang dilihat akan mengharumkan nama negara selain impak kepada ekonomi.
Namun begitu, segelintir masyarakat tidak bersetuju dan meminta kerajaan lebih fokus kepada kebajikan rakyat serta infrastruktur yang perlu dibaik pulih.
Sumber: Malaysia Kini








