'Saya mohon maaf, kami sudah berdamai' - Kes Tulip Homestay selesai, penginap akui terlalu mengikut nafsu | The Reporter

‘Saya mohon maaf, kami sudah berdamai’ – Kes Tulip Homestay selesai, penginap akui terlalu mengikut nafsu

9 Februari lalu tular luahan ketidakpuasan hati seorang lelaki yang mendakwa mereka dilayan seperti anjing oleh pemilik homeystay hanya kerana terlewat check out dari masa yang ditetapkan.

Namun, anak kepada pemilik Tulip Homestay tampil menjelaskan cerita sebenar di mana peringatan awal dan kelonggaran telah diberi. Mengakui tindakan ibunya mencampak barang-barang penginap adalah salah, tetapi penginap juga sepatutnya menghormati peraturan dan masa yang ditetapkan.

Rentetan daripada isu itu, ramai netizen yang mengecam lelaki berkenaan yang bukan sahaja lewat check out, malah memaki pemilik homestay yang merupakan orang tua sehingga didengari satu taman perumahan tersebut.

Sudah berdamai

Bagaimanapun semalam menerusi hantaran di Facebook, Shafiq Ghani, tampil memohon maaf di atas apa yang telah berlaku.

“Saya ingin jelaskan bahawa pihak kami dan juga pihak homestay sudah bermaafan dan berdamai.

“Kata putus perbincangan semalam, pihak homestay mencadangkan pihak kami tidak perlu membuat sebarang video permohonan maaf. Cukup sekadar bermaafan.

“Tujuan saya up posting ini adalah di atas inisiatif saya sendiri. Dengan rendah diri ingin menyatakan kedua-dua pihak sudah selesaikan isu ini dengan damai.

“Di kesempatan ini, dengan rendah diri saya juga memohon jutaan maaf kepada netizen dan juga semua rakyat Malaysia di atas ketelanjuran dan kekhilafan saya. Saya mengambil (kejadian) ini sebagai pengajaran yang terbaik untuk saya,” katanya dalam kenyataan itu.

Dalam masa sama, Shafiq juga memaafkan mana-mana netizen yang telah memaki, menghina dan mencercanya di atas perbuatannya yang terlalu mengikut hawa nafsu.

“Saya maafkan semua yang memaki, menghina dan mencerca kerana semuanya berpunca dari kejahilan diri saya sendiri (terlalu) mengikut hawa nafsu,” ujarnya.

Related Posts