'Kontrak saya bersama DoSM sudah tamat tahun lalu' - Individu tular masuk jabatan pakai kabel tampil jelas situasi sebenar | The Reporter

‘Kontrak saya bersama DoSM sudah tamat tahun lalu’ – Individu tular masuk jabatan pakai kabel tampil jelas situasi sebenar

Kenyataan wanita yang secara terbuka mendedahkan dia telah menghabiskan masa selama tiga jam berkaraoke ketika waktu rehat panjang mendakwa, dia bukan lagi kakitangan di bawah Jabatan Perangkaan Malaysia.

Sebaliknya, wanita yang turut mendedahkan dia menggunakan kabel (orang dalam) mengatakan kontraknya telah tamat tahun lalu.

Menerusi satu laporan, wanita ini telah tampil membuat permohonan maaf di atas tindakan beliau.

“Saya meminta maaf di atas kecuaian saya dan saya ingin menjelaskan bahawa, saya sudah tidak bekerja di sana (DoSM) setelah kontrak tamat tahun lepas.

“Untuk makluman, video itu dirakam pada September lepas, tahun lalu, sekadar suka-suka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, mengesahkan individu berkenaan tidak lagi bertugas di jabatannya, sebagai pekerja kontrak jangka pendek di bawah inisiatif Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP).

Terdahulu, seorang individu dikenali sebagai Nana dengan secara terbuka mendedahkan menerusi ruangan komen di TikTok, dia mendapat pekerjaan di jabatan berkenaan melalui bantuan orang dalam.

Selain itu juga, dia menyatakan telah menghabiskan waktu rehat selama tiga jam dengan berkaraoke di sebuah pusat membeli belah, IOI City Mall Putrajaya.

Sumber: New Straits Times

Related Posts