Ireland menjadi negara pertama di Eropah yang menuntut pengusiran duta Israel dan merujuk Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas jenayah perang yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.
Parlimen Ireland dijangka mengadakan undian mengenai usul berkenaan pada minggu depan. Selepas mendapat sokongan dari beberapa parti politik di negara itu.
Usul tersebut dibawa oleh Demokrat Sosial yang menuduh Israel melanggar undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia dengan menyerang penduduk awam, wartawan, kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pekerja kesihatan di Gaza.
Selain itu, usul yang sama juga bertujuan mendesak kerajaan Ireland untuk menggantung Perjanjian Persatuan EU-Israel. Termasuk menghentikan akses Israel kepada dana penyelidikan serta inovasi EU yang bernilai €95 bilion.
Pemimpin Demokrat Sosial, Holly Cairns, berkata masyarakat antarabangsa tidak boleh bersikap “ambivalen” terhadap penderitaan rakyat Gaza.
“Memandangkan kegagalan Israel untuk menghentikan serangan terhadap penduduk awam, maka kerajaan mesti menarik balik status diplomatik Duta Israel ke Ireland,” katanya¹.
Heret Israel ke mahkamah
Sementara itu, parti terbesar di Ireland, Sinn Fein, juga akan membawa usul yang sama bagi menyeru kerajaan Ireland menggunakan haknya sebagai negara pihak kepada Statut Rom ICC untuk merujuk tindakan Israel ke mahkamah.
Jurucakap hal ehwal luar Sinn Fein, Matt Carthy, berkata Israel mesti bertanggungjawab atas jenayah perang. Jenayah terhadap kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di Gaza sejak sebulan lalu.
“Israel sengaja menyasarkan dan membunuh beribu-ribu orang awam. Memusnahkan infrastruktur seperti hospital, sekolah dan masjid. Memaksa penduduk berpindah dan menyekat bekalan air, makanan, bahan api dan bekalan penting yang lain kepada penduduk Gaza,” katanya.
Difahamkan, usul-usul berkenaan turut mendapat sokongan dari beberapa parti lain, termasuk Parti Hijau, Parti Buruh, Parti Rakyat dan Parti Sosialis.
Ireland adalah salah satu negara yang paling vokal dalam menyokong hak rakyat Palestin dan mengecam tindakan Israel.
Pada tahun 2018, Senat Ireland meluluskan undang-undang yang melarang import barang dari tanah-tanah Palestin yang diduduki oleh Israel. Setahun kemudian, Parlimen Ireland mengiktiraf secara rasmi negara Palestin.
Sumber: Agensi Anadolu








