Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Awal September lalu, seorang penjawat awam dilaporkan maut selepas terbabit dalam pergaduhan di hadapan sebuah kedai di Kampung Cabang Sungai Hala, Machang, Kelantan.
Mangsa berusia 50-an meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
Rentetan daripada kes itu, seorang jurutera perkapalan didakwa di Mahkamah Majistret Tanah Merah pada Khamis, 14 September, atas pertuduhan membunuh mangsa.
Tertuduh, Harun Narresat Ibrahim, 46, bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan. Tertuduh hanya mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Tuan Mohd. Salleh Tuan Ibrahim, 51, di hadapan sebuah premis kedai makan berdekatan Hospital Machang pada jam 11.30 pagi, 3 September.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara.
Mahkamah menetapkan 13 November depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu.
Media sebelum ini melaporkan, suspek mengesyaki mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.
Dalam laporan media pada 4 September lalu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, motif kejadian dipercayai suspek mengesyaki mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.
Difahamkan, mangsa dan isteri suspek adalah penjawat awam yang bekerja di sebuah jabatan sama di Kuala Krai.
Kedua-duanya kemudian bersetuju untuk bertemu. Namun, pertemuan pada pagi 3 September itu bertukar menjadi pergelutan. Mangsa mengalami kecederaan parah di kedua mata dan patah tulang rusuk sebelah kiri, akibat dibelasah oleh suspek.
Sumber: Kosmo! Online, Harian Metro








