'Buang jer anak kau dalam sungai!' - Ibu terdengar bisikan suara sebelum campak anaknya berusia 10 bulan dalam sungai | The Reporter

‘Buang jer anak kau dalam sungai!’ – Ibu terdengar bisikan suara sebelum campak anaknya berusia 10 bulan dalam sungai

Seorang ibu di Kabupaten Tangerang, Indonesia, tergamak membuang bayi kandungnya (lelaki) berusia 10 bulan ke dalam sungai sebelum mayatnya ditemui dalam keadaan membengkak dan membusuk.

Ketua Polis Tangerang, Sigit Dany Setiyono berkata, pihaknya telah menahan Kamrah, 38, ibu kepada mangsa, M Al-Ikhsan.

Siasatan awal mendapati, Kamrah dengan sengaja dan sedar mencampak darah dagingnya sendiri ke sungai kerana tidak tahan mendengar suara tangisan mangsa setiap hari.

“Berdasarkan keterangan suspek, motif dia berbuat demikian kerana mangsa berterusan menangis beberapa hari yang menyebabkan dia tertekan.

“Selain itu, suspek juga kepenatan kerana melakukan kerja-kerja rumah, ditambah pula dengan keadaan kewangan keluarga yang tidak menentu. Apatah lagi suaminya, Edi, tiada di rumah kerana bekerja di Jakarta dan sudah sekian lama tidak dapat dihubungi,” katanya.

Menurut suspek, sejak Jumaat 31 Mac hingga Isnin 3 April, anaknya berterusan menangis dan dia tidak mengetahui apa puncanya anak kecil itu menangis.

“Disebabkan hal itu, suspek mula berasa jengkel dan bengang lalu mengaku terdengar bisikan suara yang meminta dia membuang anaknya ke dalam sungai,” kata Sigit.

Kamrah kemudian membuang mangsa ke sungai pada jam 2 petang, Isnin, 3 April 2023, di mana lokasi pembuangan itu kira-kira satu kilometer daripada rumahnya.

“Selepas membuang anaknya ke dalam sungai, suspek sempat tersedar dan cuba menyelamatkan anaknya tetapi sungai itu terlalu dalam dan anaknya pula semakin jauh, lalu dia membatalkan niatnya untuk menyelamatkan mangsa,” kata Sigit.

Polis tidak menolak kemungkinan suspek mengalami masalah kemurungan dan kini dia berdepan dengan hukuman penjara selama 15 tahun.

Sumber: Tribun News

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Tinggalkan Balasan
Related Posts