Dukung bayi ketika berucap di Parlimen, senator berhijab Australia curi perhatian | The Reporter

Dukung bayi ketika berucap di Parlimen, senator berhijab Australia curi perhatian

Senator Australia, Fatima Payman mendukung bayi perempuannya ketika berucap di Dewan Senat sambil diperhatikan Lidia Thorpe.
Senator Australia, Fatima Payman mendukung bayi perempuannya ketika berucap di Dewan Senat sambil diperhatikan Lidia Thorpe.

Kebiasaannya persidangan Parlimen berlangsung dalam suasana formal dan serius. Namun, satu detik mencuit hati dirakam di Dewan Senat Australia apabila seorang senator berucap sambil mendukung anak perempuannya yang berusia enam bulan.

Menerusi rakaman video yang tular di media sosial, Senator Fatima Payman dilihat tenang menyampaikan ucapannya sambil mendukung bayi perempuannya ketika perbahasan rang undang-undang berkaitan keselamatan dalam talian.

Lebih mencuit hati, Senator Lidia Thorpe yang duduk di belakang Payman turut dilihat mengagah bayi berkenaan tanpa mengganggu ucapan ibunya.

Detik bersahaja itu meraih perhatian warga maya, dengan ramai menzahirkan kekaguman terhadap Payman yang menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu dalam masa sama melaksanakan amanah sebagai senator.

Menurut laporan NDTV, kejadian itu berlangsung ketika Dewan Senat membahaskan rang undang-undang Online Safety Amendment (Digital Duty of Care) Bill 2026 yang bertujuan meningkatkan tanggungjawab syarikat teknologi dalam melindungi pengguna, khususnya kanak-kanak daripada ancaman dalam talian.

Terdahulu, peraturan Parlimen Australia telah dipinda pada 2016 bagi membolehkan senator membawa bayi ke dewan persidangan untuk dijaga dan disusukan, tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan.

Payman yang mewakili Australia Barat turut mencipta sejarah pada Mei tahun ini sebagai senator pertama dari negeri berkenaan yang melahirkan anak ketika masih memegang jawatan. Beliau kembali menghadiri persidangan Parlimen pada September lalu, empat bulan selepas melahirkan anak sulungnya.

Dilahirkan di Kabul, Afghanistan, Payman berhijrah ke Australia bersama keluarganya ketika masih kecil sebelum mencipta sejarah pada 2022 sebagai wanita berhijab pertama yang dipilih menganggotai Parlimen Australia.

Sumber: NDTV, X

Related Posts