Genap empat tahun Datuk Seri Anwar Ibrahim mencatat kemenangan di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), penduduk setempat tampil berkongsi pelbagai perubahan dan penambahbaikan yang dilaksanakan sepanjang tempoh berkenaan.
Perkongsian itu susulan satu hantaran di Threads yang mengimbau kembali detik kemenangan Perdana Menteri, sebelum seorang pengguna mengajak penduduk Tambun berkongsi pembangunan yang telah dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Naik taraf pembangunan tergendala
Menariknya, rata-rata penduduk yang memberikan maklum balas menyatakan perubahan lebih tertumpu kepada kerja baik pulih kemudahan awam, naik taraf infrastruktur serta penyelesaian projek pembangunan yang sekian lama tergendala.
Antara yang menjadi perhatian ialah projek Klinik Kesihatan Manjoi yang sebelum ini tergendala, namun menurut penduduk, kini telah siap dan mula beroperasi.
Malah, seorang pengguna mendakwa Anwar beberapa kali turun meninjau sendiri perkembangan projek berkenaan tanpa mengadakan majlis rasmi.
Seorang lagi pengguna turut berkongsi mengenai pembinaan klinik baharu khusus untuk ibu dan anak di Greentown yang dilaporkan telah siap selepas sekian lama dalam pembinaan.
Dalam aspek pendidikan pula, terdapat perkongsian mengenai bantuan yang diterima sekolah daripada Pejabat Parlimen Tambun hampir setiap tahun, termasuk sumbangan tiga unit papan pintar (smartboard) pada tahun ini.
Turut mencuri perhatian ialah penyediaan padang baharu untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Changkat Kinding yang dikatakan akhirnya memiliki kemudahan tersebut selepas 100 tahun beroperasi.
Antara pembangunan lain yang disenaraikan pengguna termasuk pembinaan bangunan tambahan SJKT Klebang dan SK Chepor, naik taraf Jalan Tambun, pembinaan jalan baharu dari Meru Raya ke persimpangan Lebuhraya Ipoh-Lumut serta pembinaan bangunan baharu Jabatan Pendidikan Negeri Perak.
Selain itu, kerja baik pulih Stadium Mini Manjoi, pembangunan semula Medan Selera Silibin, penambahbaikan sistem pembetungan di Medan Klebang Prima serta naik taraf kemudahan sekolah agama dan masjid turut disebut.
Seorang pengguna turut menyatakan sebanyak RM168.7 juta diperuntukkan menerusi 107 projek pembangunan di Parlimen Tambun melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 2024.
Manfaat kepada rakyat
Meskipun tidak menyaksikan banyak projek berskala mega, penduduk berpandangan kerja penambahbaikan kemudahan asas seperti medan selera, sekolah, fasiliti kesihatan dan tandas awam memberikan manfaat secara langsung kepada kehidupan seharian mereka.
“Klinik kesihatan yang dulu projek tergendala, sekarang semua dah hampir siap, tandas awam semua dah cantik selesa, tak ada la geli nak singgah berhenti,” kata bszara.








