Seorang lelaki di Tanah Merah, Kelantan merayu bantuan dan nasihat orang ramai selepas menerima notis tuntutan ganti rugi sebanyak RM1 juta daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) susulan hantarannya yang mengkritik perkhidmatan syarikat berkenaan di Facebook.
Lelaki terbabit, Asran Alias menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bahawa dia bersedia mematuhi segala tuntutan yang dikemukakan AKSB, namun tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membayar jumlah berkenaan.
“Saya tak ada duit untuk bayar saman RM1 juta ini. Saya bersedia untuk patuh segala tuntutan daripada AKSB tetapi tidak ada kemampuan untuk bayar RM1 juta.
“Mohon nasihat supaya masalah ini selesai, saya nak fokus pada perniagaan dan kesihatan sahaja,” katanya.
Berdasarkan salinan notis tuntutan bertarikh 19 November 2026 yang dikongsikan, firma guaman Afifah, Wan & Aimi Shazwani yang mewakili AKSB mendakwa Asran telah menerbitkan kenyataan berunsur fitnah dengan niat jahat menerusi akaun Facebook miliknya pada 20 Oktober lalu.
Dalam hantaran terdahulu itu, Asran antara lain meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sistem pengurusan aduan, kelewatan permohonan bekalan air, prosedur pemotongan bekalan serta mendakwa menerima bekalan air kotor di premisnya.
Bagaimanapun, menurut notis berkenaan, semakan AKSB terhadap rekod bekalan air yang didaftarkan atas nama Asran mendapati tiada sebarang rekod aduan rasmi diterima berhubung perkara-perkara tersebut.
AKSB turut mendakwa kenyataan berkenaan dibuat tanpa asas munasabah sehingga menjejaskan reputasi, imej dan kredibiliti syarikat serta mengundang pandangan negatif masyarakat.
Diberi tempoh tujuh hari
Menerusi notis tersebut, Asran diberikan tempoh tujuh hari daripada tarikh notis untuk membuat permohonan maaf secara terbuka berdasarkan teks yang disediakan serta meletakkan hantaran permohonan maaf itu di kedudukan paling atas (pinned post) akaun Facebook miliknya.
Dia turut dikehendaki memadamkan hantaran terdahulu dengan serta-merta, memberikan aku janji untuk tidak mengulangi kenyataan seumpamanya serta membayar ganti rugi sebanyak RM1 juta kepada AKSB.
Firma guaman berkenaan turut memaklumkan bahawa tindakan undang-undang akan dimulakan sekiranya Asran gagal mematuhi tuntutan tersebut dalam tempoh ditetapkan.
Sementara itu, Asran menerusi hantaran terbaharunya turut meminta orang ramai memberikan pandangan dan cadangan yang membina bagi membantunya menyelesaikan kemelut berkenaan.








