UNHCR henti pendaftaran, dokumentasi pelarian di Malaysia | The Reporter

UNHCR henti pendaftaran, dokumentasi pelarian di Malaysia

Logo UNHCR, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mengendalikan urusan perlindungan pelarian.
Gambar: Business Today

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menghentikan aktiviti pendaftaran dan dokumentasi pelarian serta pemohon suaka di Malaysia berkuat kuasa 18 November 2026.

Menerusi kenyataan rasmi di laman sesawangnya pada Rabu, UNHCR memaklumkan keputusan itu dibuat selaras dengan langkah kerajaan Malaysia mengambil alih urusan pendaftaran pelarian dan pemohon suaka menerusi program pendaftaran yang dikendalikan kerajaan.

Menurut UNHCR, pihaknya menyokong usaha kerajaan memperkukuh sistem pengurusan pelarian dan akan terus mengadakan perbincangan mengenai cadangan pelan hala tuju peralihan bagi memastikan perlindungan terhadap golongan berkenaan tidak terjejas.

Pelan tersebut turut memberi penekanan terhadap aspek perlindungan, komunikasi berkesan serta kerjasama antara pihak berkepentingan bagi memastikan proses peralihan dilaksanakan secara berperingkat dan teratur.

Operasi perkhidmatan lain diteruskan

Walaupun aktiviti pendaftaran dan dokumentasi dihentikan, UNHCR menegaskan operasi serta perkhidmatan lain di Malaysia masih diteruskan seperti biasa.

Ini termasuk urusan penempatan semula pelarian ke negara ketiga dan bantuan perlindungan kepada individu yang berdepan keperluan mendesak, termasuk mereka yang ditahan pihak berkuasa, kanak-kanak berisiko serta mangsa keganasan berasaskan jantina.

Dalam masa sama, UNHCR memaklumkan temu janji pendaftaran yang telah dijadualkan tidak akan diteruskan dan individu terlibat akan dihubungi sekiranya terdapat perkembangan lanjut.

Agensi itu turut menasihatkan pemegang dokumen UNHCR supaya menyimpan dokumen masing-masing dengan selamat serta tidak hadir ke pejabatnya tanpa temu janji yang ditetapkan.

UNHCR turut menegaskan bahawa semua perkhidmatannya diberikan secara percuma dan mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan individu atau pihak yang menawarkan bantuan pendaftaran dengan mengenakan bayaran.

Related Posts